LOS ANGELES, 8 Januari- Kebakaran besar yang melanda kawasan Pacific Palisades, Los Angeles, memusnahkan bangunan dan mencetuskan evakuasi panik pada Selasa.
Kebakaran didorong angin kencang berskala taufan, menyemarakkan lagi api sehingga merebak lebih 3,000 ekar.
Penduduk terpaksa meninggalkan kereta mereka di jalan utama, dengan ramai yang berlari menyelamatkan diri ketika api menghampiri kawasan kediaman mewah di Pergunungan Santa Monica.
Ketua Jabatan Bomba Los Angeles, Kristin Crowley berkata, walaupun keadaan huru-hara, tiada laporan kematian atau kecederaan setakat ini.
"Kami masih dalam bahaya," kata Ketua Bomba Daerah Los Angeles, Anthony Marrone, sambil memberi amaran bahawa angin dijangka semakin kencang.
Sekitar 30,000 orang diarahkan berpindah, dengan banyak rumah musnah akibat api yang merebak pantas melalui angin yang membawa bara.
"Dalam lima minit, api datang menuruni bukit. Abu panas turun seperti hujan," kata Gary, penduduk dari komuniti Sea Ridge.
Kelsey Trainor, seorang lagi mangsa evakuasi, menggambarkan suasana penuh panik.
"Api ada di kedua-dua sisi jalan. Ada orang berjalan dengan beg pakaian, haiwan peliharaan dan anak-anak," jelas Trainor.
Angin Santa Ana, yang merupakan fenomena musim biasa di kawasan itu, dijangka membawa tiupan hingga 160 kilometer sejam, meningkatkan risiko kebakaran merebak lebih luas.
Ahli meteorologi, Daniel Swain memberi amaran bahawa cuaca malam itu akan menjadi lebih teruk, menyifatkan situasi semasa sebagai hanya permulaan.
Dalam pada itu, Presiden Joe Biden, yang berada di Los Angeles untuk pengumuman rasmi, telah meluluskan bantuan persekutuan bagi membantu California menangani kebakaran ini, menurut Gabenor Gavin Newsom.
"Kami tidak membuang masa. Presiden berkata; 'Ya. Apa lagi yang diperlukan?'" kata Newsom.
Walaupun kebakaran adalah sebahagian daripada kitaran semula jadi di Barat Amerika Syarikat, perubahan iklim akibat manusia dikatakan telah mengubah corak cuaca, menjadikan kawasan itu lebih berisiko terhadap kebakaran besar.- AFP