KATHMANDU, 8 Januari – Satu gempa bumi kuat melanda kawasan kaki bukit Himalaya berhampiran salah satu bandar suci di Tibet pada Selasa, mengorbankan sekurang-kurangnya 126 orang dan meranapkan ratusan rumah, menurut pihak berkuasa China.
Gempa bumi berukuran 6.8 magnitud itu berpusat kira-kira 80 km (50 batu) di utara Gunung Everest, gunung tertinggi di dunia.
Gegaran turut dirasai di negara jiran Nepal, Bhutan, dan India.
Kesan gempa itu meluas di wilayah Shigatse di Tibet, yang dihuni oleh 800,000 orang.
Wilayah itu ditadbir dari bandar Shigatse, kerusi tradisional Panchen Lama, salah satu tokoh penting dalam agama Buddha Tibet.
Pusat Rangkaian Gempa Bumi China melaporkan pusat gempa di daerah Tingri, pintu masuk utara ke kawasan Everest, dengan kedalaman 10 km (6.2 batu).
Perkhidmatan Geologi A.S. melaporkan magnitud gempa pada 7.1 dan berlaku pada pukul 9:05 pagi ( waktu tempatan).
Sekurang-kurangnya 126 orang disahkan maut dan 188 cedera di Tibet, menurut agensi berita rasmi China, Xinhua.
Rakaman televisyen CCTV menunjukkan pasukan penyelamat memberikan bantuan CPR kepada mangsa cedera dan askar mendirikan tempat perlindungan sementara.
Pemimpin spiritual Tibet, Dalai Lama, yang melarikan diri ke India pada tahun 1959 selepas pemberontakan gagal terhadap pemerintahan China, melahirkan rasa sedih.
“Saya mendoakan mereka yang terkorban dan mengucapkan semoga cepat sembuh kepada semua yang cedera,” kata penerima Hadiah Nobel Keamanan itu.
Sementara itu,Presiden China, Xi Jinping, menggesa usaha menyelamat dan mencari mangsa dilakukan secara menyeluruh untuk meminimumkan jumlah korban serta memulihkan kehidupan mangsa yang terjejas.
China menutup kawasan Everest kepada pelancong selepas gempa tersebut, lapor Xinhua.
Gunung Everest merupakan destinasi popular pendaki.
Seorang pendaki Jerman yang mempunyai permit mendaki Everest sudah meninggalkan kem asas selepas gagal menawan puncak tersebut, kata pegawai Jabatan Pelancongan, Lilathar Awasthi.
Di daerah Tingri, yang berada pada ketinggian purata 4,000-5,000 meter (13,000-16,000 kaki), gempa itu diikuti lebih 150 gegaran susulan dengan magnitud sehingga 4.4.
Video di media sosial menunjukkan kedai-kedai runtuh dengan serpihan berselerak di jalan di bandar Lhatse.
Tiga perkampungan dan 27 buah kampung dalam lingkungan 20 km (12 batu) dari pusat gempa, yang dihuni kira-kira 6,900 orang, mengalami kerosakan lebih 1,000 rumah, lapor Xinhua.
Wilayah barat daya China, Nepal dan India utara sering dilanda gempa bumi akibat pertembungan plat tektonik India dan Eurasia.
Sejak 1950, terdapat 21 gempa bumi dengan magnitud 6 atau lebih di kawasan dikenali sebagai blok Lhasa. Gempa terbesar adalah magnitud 6.9 di Mainling pada 2017, menurut CCTV.
Mainling terletak di hilir Sungai Yarlung Zangbo di Tibet, di mana China merancang untuk membina empangan hidroelektrik terbesar di dunia.
Pada tahun 2015, gempa bumi magnitud 7.8 melanda berhampiran ibu kota Nepal, Kathmandu, membunuh kira-kira 9,000 orang dan mencederakan ribuan lagi.
Pada Selasa, gegaran turut dirasai di Kathmandu, kira-kira 400 km (250 batu) dari pusat gempa, menyebabkan penduduk bergegas keluar dari rumah.
Gempa itu juga menggegarkan Thimphu, ibu negara Bhutan, dan negeri Bihar di utara India yang bersempadan dengan Nepal.-REUTERS.