fb fb fb fb fb

Perjanjian Paris: EU bimbang impak jika Trump tarik AS keluar

Foto Reuters

BRUSSELS, 8 Januari- Usaha global menangani perubahan iklim berisiko menerima tamparan hebat jika Presiden Amerika Syarikat (AS) yang bakal dilantik, Donald Trump, sekali lagi menarik negara itu keluar daripada Perjanjian Paris, menurut Ketua Dasar Perubahan Iklim EU, Wopke Hoekstra.

Pasukan peralihan Trump dilaporkan telah menyediakan arahan eksekutif untuk menarik AS, "pencemar" kedua terbesar dunia selepas China daripada perjanjian iklim utama global tersebut.

“Jika itu berlaku, ia akan menjadi tamparan serius terhadap diplomasi iklim antarabangsa,” kata Hoekstra dalam wawancara bersama Reuters.

Beliau menyeru negara lain untuk “menggandakan usaha diplomasi iklim, jika AS sekali lagi menarik diri.

"Perubahan iklim adalah masalah sejagat yang memerlukan penyelesaian kolektif," tambahnya.

Perjanjian Paris menjadi tonggak rundingan iklim Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB), melibatkan hampir 200 negara untuk mengurangkan pelepasan karbon dan membiayai usaha menangani perubahan iklim.

AS memainkan peranan penting termasuk bekerjasama dengan China untuk merintis perjanjian global, baru-baru ini.

Namun, Trump dijangka mengubah haluan setelah beliau kembali ke White House pada 20 Januari.

Hoekstra berkata EU akan berusaha melibatkan pentadbiran baharu AS secara konstruktif.

Namun, EU dijangka terlepas tarikh akhir Februari untuk menghantar pelan iklim kebangsaan ke PBB, walaupun pentadbiran Joe Biden yang bakal tamat telah menyiarkan sumbangan AS.

Beliau berjanji bahawa EU akan menyediakan pelan iklim 2035 sebelum sidang kemuncak iklim PBB di Belem, Brazil, pada November tahun ini.

"Yang penting adalah memastikan kita mempunyai angka yang bercita-cita tinggi sebelum Belem," kata Hoekstra.- REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM