fb fb fb fb fb

Upacara pengebumian Hassan Nasrallah dijadual pada 23 Februari

Foto AFP

BEIRUT, 3 Februari- Upacara pengebumian pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah, akan diadakan pada 23 Februari.

Menurut ketua kumpulan itu, Naim Qassem, upacara tersebut diharap menjadi perarakan pengebumian yang besar, sesuai dengan keperibadian Nasrallah.

"Hizbullah memutuskan untuk mengadakan pengebumian besar... secara terbuka,'" kata Qassem dalam ucapan yang disiarkan di televisyen.

Nasrallah terbunuh dalam serangan udara besar-besaran Israel di kawasan pinggir selatan Beirut pada 27 September, ketika Israel meningkatkan kempen terhadap kumpulan yang disokong Iran itu selepas hampir setahun pergolakan rentas sempadan.

Qassem juga mengesahkan untuk pertama kalinya bahawa pegawai utama Hashem Safieddine telah dipilih untuk menggantikan Nasrallah, sebelum beliau turut terbunuh dalam serangan Israel pada Oktober.

Kumpulan itu akan mengadakan pengebumian Safieddine pada hari yang sama dengan pengebumian Nasrallah.

"Nasrallah akan dikebumikan di pinggir Beirut, di sebuah kawasan tanah yang kami pilih antara jalan lama dan baru lapangan terbang, sementara Safieddine akan dikebumikan di kampung halamannya di Deir Qanun di selatan Lubnan.

"Nasrallah telah dikebumikan sementara di tempat lain disebabkan kebimbangan keselamatan," katanya.

Pada Oktober lalu, seorang sumber yang rapat dengan kumpulan itu memberitahu AFP bahawa Nasrallah telah dikebumikan di lokasi rahsia, kerana bimbang Israel akan menyasarkan pengebumian berkenaan. - AFP

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM