PARIS, 6 Jun- Persidangan Lautan Pertubuhan Bangsa Bersatu Ketiga (UNOC3) yang akan berlangsung di bandar Nice, Perancis menyasarkan matlamat mempercepat tindakan bagi melindungi lautan dunia.
Persidangan yang akan berlangsung dari 9 hingga 13 Jun ini dianjurkan bersama oleh Perancis dan Costa Rica.
Faktor perubahan iklim, pencemaran, biodiversiti serta usaha memastikan akses manusia kepada sumber marin dilakukan secara mampan, antara isu-isu yang akan dibahaskan.
Ketua dasar marin UNESCO, Julien Barbiere, menjelaskan bahawa, meskipun beberapa perjanjian dan perbincangan positif telah dicapai dalam beberapa tahun kebelakangan ini termasuk berkaitan biodiversiti dan pengurangan pencemaran, namun pelaksanaannya memerlukan tindakan konkrit dan pembiayaan yang mencukupi.
"Walaupun pelbagai cabaran dihadapi, penyelesaian tetap ada dan lautan mempunyai keupayaan yang besar untuk pulih semula dengan bantuan manusia," katanya.
Persidangan UNOC terdahulu dihoskan oleh Sweden dan Fiji di New York pada 2017, serta oleh Portugal dan Kenya di Lisbon pada 2022.- REUTERS