fb fb fb fb fb

Modi lawat Kashmir, lancar projek laluan kereta api strategik

Foto AFP

SRINAGAR, 6 Jun- Perdana Menteri India, Narendra Modi merasmikan satu projek laluan kereta api strategik di wilayah Kashmir pada Jumaat, wilayah yang digelar sebagai "permata mahkota India".

Kehadiran Modi ke wilayah itu merupakan lawatan pertamanya sejak tercetus konflik terbaharu dengan Pakistan.

Modi turut melancarkan pelbagai projek pembangunan mencecah nilai berbilion dolar di wilayah majoriti Muslim yang telah lama menjadi rebutan antara kedua-dua negara, sejak mencapai kemerdekaan pada tahun 1947.

India dan Pakistan merupakan negara yang mempunyai kuasa nuklear, berperang selama empat hari bulan lalu dalam ketegangan paling serius sejak 1999, sebelum satu gencatan senjata dicapai pada 10 Mei.

"Pakistan tidak akan melupakan. Kekalahan memalukan itu," kata Modi yang beraliran nasionalis Hindu, di hadapan ribuan penyokong, sebulan selepas India melancarkan serangan balas terhadap jirannya susulan serangan ke atas pelancong di Kashmir.

"Hari ini adalah perayaan besar perpaduan dan tekad India. Ini adalah simbol dan lambang kebangkitan India," katanya selepas berjalan melintasi Jambatan Chenab, jambatan yang menghubungkan dua banjaran gunung itu.

New Delhi menyifatkan Jambatan Chenab sebagai jambatan gerbang kereta api tertinggi di dunia, terletak kira-kira 359 meter (1,117 kaki) dari permukaan sungai.

Walaupun beberapa jambatan jalan raya dan saluran paip berada pada ketinggian lebih tinggi, Guinness World Records mengesahkan bahawa Jambatan Chenab mengatasi pemegang rekod sebelumnya, Jambatan Najiehe di China.

Modi menyifatkan projek itu sebagai “satu pencapaian seni bina luar biasa” yang akan meningkatkan keterhubungan, menyediakan laluan kereta api pertama dari dataran India ke kawasan pergunungan Kashmir.

Dengan 36 terowong dan 943 jambatan, laluan kereta api sepanjang 272 kilometer itu menghubungkan Udhampur, Srinagar dan Baramulla.

Laluan baharu itu dijangka mengurangkan separuh masa perjalanan antara bandar Katra di wilayah Jammu dan Srinagar, bandar utama di Kashmir, kepada kira-kira tiga jam.

Ia juga akan memudahkan pergerakan orang awam, barangan, serta anggota tentera yang sebelum ini hanya boleh dilakukan melalui jalan gunung yang berbahaya atau menggunakan pengangkutan udara.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM