fb fb fb fb fb

UNHCR undi resolusi 'kebencian agama'

(Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu bertemu
di Palais des Nations di Geneva/ AFP)

GENEVA, 12 Julai- Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa Bersatu (UNHCR) dijangka mengundi hari ini mengenai resolusi kebencian agama susulan kes pembakaran teks al-Quran di Stockholm, Sweden, bulan lalu.

Draf resolusi yang dibentangkan oleh Pakistan itu dibahaskan selama empat jam semalam.

Draf tersebut antara lain mengecam semua manifestasi kebencian agama, termasuk "perbuatan mencemari Al-Quran secara umum dan terancang", dan menekankan keperluan untuk meminta kebertanggungjawaban pihak terbabit.

Ia menggesa semua negara menerima pakai undang-undang untuk "menangani, mencegah dan mendakwa mereka yang melakukan dan menyokong kebencian agama yang membentuk hasutan kepada diskriminasi, permusuhan atau keganasan".

"Pencemaran yang disengajakan terhadap Al-Quran telah berterusan bawah sekatan kerajaan dan dengan rasa bebas daripada hukuman," kata Menteri Luar Pakistan, Bilawal Bhutto Zardari kepada majlis, melalui pautan video.

"Kebebasan bersuara adalah sangat diperlukan namun ucapan kebencian seharusnya tidak dipertahankan. Kesungguhan kita untuk melindungi kebebasan bersuara tidak boleh melupakan keharusan untuk menolak ucapan kebencian." 

Artikel berkaitan
Twitter jadi pentas utama sebar kebencian dalam talian - Australia
Bakar Al-Quran, bukti jelas mentaliti kebencian negara barat terhadap Islam
White House pantau kandungan kebencian dan keganasan di twitter


Menteri Luar, Indonesia Retno Marsudi dalam ucapannya menegaskan, "provokasi ini sangat menghina umat Islam di seluruh dunia. Anda tidak boleh berselindung di sebalik kebebasan bersuara."

Pesuruhjaya UNHCR, Volker Turk ketika membuka perbahasan berkata insiden pembakaran teks Al-Quran baru-baru ini nampaknya "dibuat untuk menyatakan penghinaan dan membakar kemarahan".

"Dengan jangkauan media sosial... segala jenis ucapan kebencian semakin meningkat, di mana-mana," katanya.

"Tindakan menghasut terhadap agama adalah perbuatan yang menyinggung perasaan, tidak bertanggungjawab dan salah," tambah beliau. -AFP

(UNHCR undi resolusi 'kebencian agama'/AFP)

Media Baharu