fb fb fb fb fb

Prayut Chan-o-Cha umum berundur daripada politik

(Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-Cha /AFP)

BANGKOK, 11 Julai- Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-Cha mengumumkan persaraannya daripada politik, tetapi akan kekal sebagai PM sehingga pembentukan kerajaan baharu.

Pengumuman itu dibuat ketika parlimen baharu dijadual bersidang pada Khamis untuk melaksanakan pengundian bagi memilih perdana menteri baharu.

Perdana menteri perlu memperoleh sekurang-kurangnya 376 undi.

Prayut Chan-o-Cha, bekas ketua tentera yang mengetuai rampasan kuasa pada 2014 dan kemudian dilantik sebagai perdana menteri pada pilihan raya 2019 berkata beliau turut meletak jawatan dalam Parti United Thai Nation (UTN).

Pengumuman itu sudah dijangka selepas UTN hanya memenangi 36 daripada 500 kerusi dewan pada Pilihan Raya Umum pada 14 Mei lalu.

“Mulai sekarang, saya berhenti daripada politik dengan meletakkan jawatan sebagai ahli parti UTN,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook rasmi parti UTN.

Parti itu gagal mendapat tarikan pengundi, berada di tempat kelima jauh di belakang parti pembangkang Move Forward dan Pheu Thai.

Kumpulan pembangkang dirangsang oleh gelombang sokongan di seluruh negara, apabila pengundi menolak pemerintahan hampir sedekad yang disokong tentera dan mengundi untuk pembaharuan.

Dalam kenyataannya, Prayut menggesa anggota UTN untuk melindungi 'institusi negara, agama, dan beraja', merujuk kepada tiga tonggak masyarakat Thai yang tidak boleh disentuh sebelum ini.-AFP


(Perdana Menteri Thailand, Prayut Chan-o-Cha /AFP)

Media Baharu