GENEVA, 19 Julai - Sehingga 11.6 juta pelarian dan individu yang terpaksa melarikan diri berisiko kehilangan akses tahun ini kepada bantuan kemanusiaan langsung daripada UNHCR, Agensi Pelarian Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu susulan pemotongan besar terhadap belanjawan kemanusiaan, menurut satu laporan yang diterbitkan pada Jumaat.
Menurut Agensi Berita Emirates (WAM), angka itu mewakili kira-kira satu pertiga daripada jumlah penerima bantuan yang dicapai oleh agensi berkenaan tahun lalu.
Laporan itu menyoroti gabungan faktor yang memburukkan keadaan berjuta-juta pelarian dan individu yang kehilangan tempat tinggal — peningkatan jumlah penduduk yang terpaksa berpindah, penyusutan pembiayaan serta sikap acuh tak acuh politik. Wanita dan kanak-kanak, seperti biasa merupakan golongan paling terjejas.
Secara keseluruhan, program penting bernilai US$1.4 bilion sedang dipotong atau ditangguhkan, menurut analisis program dan dana yang diterima UNHCR tahun ini. Jutaan orang kini berdepan keadaan hidup yang semakin merosot, risiko eksploitasi dan penderaan yang meningkat, serta mungkin terpaksa berpindah lagi.
Di sebalik angka ini ialah nyawa sebenar yang sedang terancam. Keluarga menyaksikan sokongan yang selama ini mereka harapkan kini lenyap, dan terpaksa memilih antara memberi makan kepada anak, membeli ubat atau membayar sewa — sementara harapan untuk masa depan yang lebih baik semakin pudar. Setiap sektor dan operasi terjejas, dan sokongan kritikal kini digantung bagi memastikan bantuan yang menyelamatkan nyawa dapat diteruskan.
Bantuan kewangan dan penghantaran barangan bantuan kecemasan telah dipotong sebanyak 60 peratus di seluruh dunia, manakala program tempat perlindungan pula berkurangan secara kritikal.
Keperluan pembiayaan UNHCR bagi 2025 ialah US$10.6 bilion. Sehingga pertengahan tahun ini, hanya 23 peratus daripada jumlah itu telah dipenuhi.
Dalam keadaan mencabar ini, pasukan UNHCR memberi tumpuan kepada usaha menyelamatkan nyawa dan melindungi mereka yang terpaksa melarikan diri.
Sekiranya dana tambahan tersedia, UNHCR mempunyai sistem, perkongsian dan kepakaran untuk menyambung semula dan meningkatkan bantuan dengan pantas.- BERNAMA-WAM