fb fb fb fb fb

Ulang tahun protes bertukar ganas

Foto AFP

NAIROBI, 25 Jun - Perarakan di Kenya untuk meraikan setahun demonstrasi besar-besaran antikerajaan bertukar ganas apabila berlaku pertempuran antara kumpulan penunjuk perasaan dengan anggota polis.

Situasi itu memaksa polis melepaskan gas pemedih mata untuk menyuraikan penunjuk perasaan yang berkumpul di luar balai polis pusat bandar.

Media antarabangsa melaporkan sekurang-kurangnya seorang pegawai polis dan beberapa penunjuk perasaan cedera.

Malah bangunan kerajaan turut dikepung dengan kawat berduri.

Terdahulu, aktivis dan keluarga mangsa mendesak perarakan ulang tahun dilakukan secara aman.

Bagaimanapun banyak sekolah serta perniagaan ditutup kerana bimbang akan berlaku kekacauan.

Kumpulan penunjuk perasaan melontar batu ke arah anggota pasukan keselamatan dan unggun api kecil dinyalakan di sekitar pusat perniagaan di sini.

“Kami berarak menentang kekejaman polis, penindasan oleh kerajaan dan cukai yang tinggi. Segalanya serba tidak kena di negara ini,” kata penunjuk perasaan, Anthony.

Protes juga berlaku di Mombasa dan beberapa daerah lain.

Tahun lalu, sekurang-kurangnya 60 orang terbunuh dalam beberapa minggu siri protes berhubung kenaikan cukai dan keadaan ekonomi yang teruk.

Anak muda Kenya melakukan demonstrasi dan kemuncaknya apabila orang ramai menyerbu parlimen pada 25 Jun 2024.

NORAINI BINTI WAHIB