LUBNAN, 25 Jun - Bank Dunia meluluskan projek bernilai AS$250 juta untuk menyokong pembinaan semula dan pemulihan Lubnan berikutan perang dahsyat tahun lalu antara Israel dan Hizbullah.
Bank itu sebelum ini menganggarkan pembinaan semula dan pemulihan menelan belanja sekitar AS$11 bilion.
"Lembaga Pengarah Eksekutif Bank Dunia meluluskan pembiayaan AS$250 juta kepada Lubnan untuk menyokong pembaikan dan pembinaan semula paling mendesak bagi infrastruktur awam kritikal yang rosak dan pengurusan runtuhan di kawasan yang dilanda konflik," katanya dalam satu kenyataan.
Pengarah Bahagian Jabatan Timur Tengah Bank Dunia Jean-Christophe Carret berkata memandangkan keperluan pembinaan semula Lubnan yang besar, projek itu disusun sebagai rangka kerja berskala AS$1 bilion dengan sumbangan awal AS$250 juta daripada Bank Dunia.
Perdana Menteri Lubnan Nawaf Salam mengalu-alukan keputusan berkenaan sambil menyifatkan projek itu sebagai langkah penting dalam pembinaan semula dan membaiki kerosakan infrastruktur kritikal dan perkhidmatan penting di kawasan yang dilanda perang.
"Sokongan ini mengukuhkan usaha pemulihan dalam rangka kerja pelaksanaan yang diterajui kerajaan dan memanfaatkan pembiayaan tambahan yang amat diperlukan," jelas beliau.
Lebih setahun permusuhan antara kumpulan Lubnan Hizbullah dan Israel berlaku yang berakhir dengan perjanjian gencatan senjata pada akhir November 2024.
Konflik itu menyebabkan kemusnahan besar-besaran di seluruh Lubnan terutamanya di kubu kuat Hizbullah di selatan dan timur negara itu serta di pinggir selatan Beirut.
Peperangan memburukkan lagi masalah ekonomi impak daripada krisis ekonomi yang bermula pada 2019.
Pembinaan semula kekal sebagai salah satu cabaran terbesar yang dihadapi kerajaan Lubnan, dengan Beirut mencari bantuan asing untuk membiayai pemulihan pasca perang.