fb fb fb fb fb

Ukraine serang depoh bahan api milik Rusia

BELGOROD, 2 April - Rusia mengesahkan dua helikopter tentera milik Ukraine menyerang depoh bahan api di bandar Belgorod dan menyebabkan kecederaan pekerja di situ.

Ini merupakan serangan udara pertama Ukraine di bumi Rusia sejak Moscow menyerang negara itu akhir Februari lalu.

"Imej video serangan yang tersebar dalam talian menunjukkan beberapa peluru berpandu ditembak dari altitud rendah sebelum diikuti dengan letupan. Video tersebut bagaimanapun belum disahkan," lapor kenyataan dikeluarkan AP.

Menurut Gabenor Wilayah, Vyacheslav Gladkov helikopter itu menyerang lokasi terbabit selepas menyeberangi sempadan pada altitud rendah.

Serangan itu mengakibatkan dua pekerja cedera manakala penduduk dipindahkan di bandar berhampiran sempadan Ukraine.

Firma minyak Rusia, Rosneft yang memiliki depoh bahan api terbabit berkata tiada kecederaan dalam kebakaran berkenaan namun tidak mendedahkan lebih lanjut mengenai kejadian itu.

Kementerian Pertahanan Ukraine pula gagal dihubungi untuk mendapatkan sebarang komen.


(FOTO AFP)

Sementara itu, Persatuan Pengendali Nuklear Dunia (WANO) memindahkan Energoatom iaitu pengendali loji tenaga nuklear Ukraine dari Moscow ke direktorat Paris.

"Lembaga Pentadbiran WANO pada mesyuaratnya menyokong Energoatom dan membuat keputusan untuk memindahkan pengurusan syarikat itu bersama pengurusan semua loji dan unit kuasa nuklearnya," tambah kenyataan itu.

Loji kuasa nuklear Ukraine menjadi sebahagian daripada pusat WANO Moscow sejak penubuhan organisasi itu pada 1989.

Sebanyak 15 unit nuklear di empat loji kuasa nuklear Ukraine yang beroperasi, menjana kira-kira 55% daripada keperluan elektrik Ukraine.-AP

Media Baharu