fb fb fb fb fb

Ukraine dan Rusia serah pelan damai masing-masing

Foto REUTERS

ISTANBUL, 3 Jun - Rundingan baharu antara Ukraine dengan Rusia, yang diadakan di Istanbul pada Isnin, berakhir dengan penyerahan cadangan pelan damai antara kedua-dua negara.

Jurucakap Menteri Luar Turki Oncu Keceli mengesahkan bahawa perbincangan diadakan secara tertutup yang diperantara oleh Turki itu, memberikan keputusan positif.

Menteri Pertahanan Ukraine Rustem Umerov, yang mengetuai delegasi Ukraine, menyatakan kedua-dua pihak telah mencapai keputusan konkrit dalam perbincangan tersebut.

Ukraine telah membentangkan pelan kepada Rusia, mencadangkan gencatan senjata tanpa syarat selama 30 hari, bersama dengan pembebasan tahanan dan pemulangan askar serta kanak-kanak.

"Rusia akan memulangkan 6,000 mayat tentera Ukraine yang terkorban," kata Pembantu Presiden Rusia Vladimir Medinsky selepas rundingan damai.

Russia dan Ukraine bersetuju untuk menukar semua askar yang berumur 18 hingga 25 tahun, yang tercedera parah dan ditangkap.

"Rusia mencadangkan gencatan senjata selama dua hingga tiga hari dengan Ukraine di beberapa kawasan barisan hadapan," tambahnya.

Delegasi Rusia turut menyerahkan satu memorandum kepada Ukraine selepas perbincangan.

Menurut Medinsky, pelan itu menggariskan langkah-langkah dicadangkan oleh Rusia untuk keamanan jangka panjang dan gencatan senjata yang menyeluruh.

Umerov mengesahkan Ukraine telah menerima memorandum tersebut dan akan mengambil masa seminggu untuk menelitinya, sebelum memutuskan langkah seterusnya.

Ukraine juga mencadangkan satu lagi pusingan perbincangan sebelum akhir bulan ini.

Kali terakhir kedua-dua negara itu mengadakan perbincangan langsung pada 16 Mei di Istanbul, rundingan bersemuka pertama mereka sejak Mac 2022.

Semasa pertemuan itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk menukar 1,000 tahanan masing-masing, menandakan pertukaran tahanan terbesar sejak permulaan konflik.

-REUTERS

SITI AISHA MELISA YUHANIZ