SEOUL, 3 Jun – Rakyat Korea Selatan mula mengundi pada Selasa bagi memilih presiden baharu.
Ini tepat enam bulan selepas bekas Presiden Yoon Suk Yeol mencetuskan kekacauan politik dengan pengisytiharan undang-undang tentera yang mengejutkan negara.
Seawal pukul 6.00 pagi waktu tempatan, segelintir pengundi warga emas telah berbaris di pusat pengundian di kawasan Munrae-dong, Seoul.
Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya Kebangsaan, berjuta-juta pengundi telah mengundi lebih awal, dengan lebih satu pertiga daripada pengundi berdaftar mengambil bahagian dalam undian awal selama dua hari, pada minggu lalu.
Semua tinjauan utama menunjukkan calon liberal Lee Jae-myung mendahului, dengan kaji selidik terkini oleh Gallup Korea menunjukkan 49 peratus responden menyokong beliau sebagai calon terbaik.
Walaupun kempen tidak dibenarkan pada hari pengundian, Lee memuat naik kenyataan di Facebook menyatakan bahawa undian kali ini akan menunjukkan kekuatan rakyat Korea selepas berbulan-bulan pergolakan politik.
Sementara itu, calon konservatif Parti Kuasa Rakyat (PPP) Kim Moon-soo ketinggalan, dengan hanya 35 peratus sokongan dalam tinjauan yang sama.
Menurut pakar dari Universiti Wanita Sookmyung, Profesor Kang Joo-hyun, isu utama membelenggu pengundi ialah kesan pengisytiharan undang-undang tentera oleh Yoon, menyebabkan negara terumbang-ambing tanpa kepimpinan.
“Pilihan raya ini dilihat sebagai referendum terhadap pentadbiran terdahulu,
“Krisis undang-undang tentera dan pemecatan Yoon bukan sahaja mengubah pendirian pengundi, malah memecahkan sokongan asas konservatif.” katanya.