fb fb fb fb fb

PBB: Kematian pesakit dialisis di Gaza meningkat

Foto REUTERS

HAMILTON, 3 Jun - Lebih 40 peratus pesakit dialisis di Gaza telah meninggal dunia sejak Oktober 2023, susulan serangan Israel ke atas kemudahan kesihatan serta kekangan akses perubatan, lapor Anadolu Ajansi (AA).

Perpindahan penduduk yang berterusan juga memburukkan krisis kemanusiaan di wilayah itu.

Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan (OCHA), jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) Stephane Dujarric memaklumkan puluhan orang terbunuh dan cedera, dipercayai ketika berkumpul untuk mendapatkan bekalan berhampiran pusat agihan yang dikawal tentera di Rafah dan Deir al Balah.

Beliau berkata serangan Israel yang berterusan ke atas infrastruktur kesihatan telah menjejaskan perkhidmatan termasuk di Pusat Dialisis Noura Al Kaabi di Gaza Utara yang diserang pada Ahad.

“Kementerian Kesihatan di Gaza melaporkan bahawa lebih 40 peratus pesakit dialisis di Gaza telah meninggal dunia sejak permusuhan memuncak pada Oktober 2023. Ini kerana pusat rawatan sama ada diserang atau tidak dapat diakses,” katanya.

Dujarric turut memberi amaran mengenai perpindahan penduduk yang semakin meningkat di seluruh wilayah itu.

“Pada Sabtu, pihak berkuasa Israel mengeluarkan satu lagi arahan perpindahan di Khan Younis dan Deir al Balah. Ia menjejaskan kira-kira 100,000 penduduk di lebih 200 tapak perpindahan,” katanya.

“Secara keseluruhan, sejak 18 Mac, rakan kemanusiaan menganggarkan lebih 640,000 orang - hampir satu pertiga daripada keseluruhan penduduk Gaza - telah berpindah semula di seluruh wilayah itu,” tambahnya.

Walaupun lebih 300 trak bantuan telah dibawa masuk dari sebelah Gaza di lintasan Kerem Shalom sejak ia dibuka semula, akses masih tidak konsisten.

“Hari ini, satu daripada percubaan kami untuk mengambil bekalan dari Kerem Shalom telah ditolak,” kata Dujarric.

Israel terus melancarkan serangan besar-besaran di Gaza sejak Oktober 2023 dengan menolak gesaan antarabangsa untuk gencatan senjata, menyebabkan hampir 54,500 penduduk Palestin terkorban, kebanyakannya wanita dan kanak-kanak. Agensi bantuan turut memberi amaran mengenai risiko kebuluran dalam kalangan lebih dua juta penduduk di wilayah itu.

Pada November lalu, Mahkamah Jenayah Antarabangsa telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu dan bekas Menteri Pertahanannya Yoav Gallant atas jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan di Gaza.

Israel juga berdepan kes pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa susulan jenayah perangnya terhadap orang awam di wilayah itu. - BERNAMA

TETITIA YUSOFF