fb fb fb fb fb

Eksplotasi seks bawah umur: Pemain besbol Tampa Bay berdepan hukuman 20 tahun penjara

Pemain besbol Tampa Bay Rays, Wander Franco berdepan tuduhan berkaitan penderaan seksual terhadap seorang remaja 14 tahun

PUERTO PLATA, 3 Jun- Perbicaraan membabitkan pemain besbol Tampa Bay Rays, Wander Franco, yang berdepan tuduhan berkaitan penderaan seksual terhadap seorang remaja bawah umur, bersambung semula pada Isnin di bandar Puerto Plata, Republik Dominika selepas ditangguhkan pada Disember lalu.

Ketika perbicaraan berlangsung, pendakwa raya Claudio Cordero memaklumkan Franco telah menjalin hubungan romantik yang menyalahi undang-undang dengan mangsa ketika berusia 14 tahun, dengan pengetahuan dan kebenaran ibunya yang turut didakwa sebagai salah seorang tertuduh dalam kes tersebut.

Dalam keterangannya di hadapan panel hakim, Franco dilaporkan merayu agar keadilan ditegakkan.

Pemain berusia 24 tahun itu kini menghadapi tuduhan serius termasuk penderaan seksual, eksploitasi seksual terhadap remaja bawah umur serta pemerdagangan manusia. Jika disabitkan kesalahan, Franco boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Menurut laporan ESPN, pihak pendakwa memiliki “bukti konklusif” bagi menyokong pertuduhan yang dikenakan.

Franco, yang ketika itu sedang meningkat naik dalam Major League Baseball (MLB), telah diletakkan dalam senarai cuti pentadbiran pada Ogos 2023, sebulan selepas pemilihannya ke All-Star pertamanya susulan dakwaan hubungan dengan remaja terbabit.

Pemain itu kemudian dipindahkan ke senarai terhad MLB pada Julai dan masih dalam siasatan pihak liga.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE