fb fb fb fb fb

UK umum sekatan baharu terhadap Rusia

Setiausaha Luar Britain, David Lammy/ AFP

LONDON, 23 Februari- Kerajaan Britain akan mengumumkan pakej sekatan baharu bagi terus menekan Rusia sempena tahun ketiga pencerobohan Moscow ke atas Ukraine, lapor PA Media/dpa.

Setiausaha Luar Britain, David Lammy berkata beliau akan mengumumkan sekatan itu pada Isnin, yang disifatkan sebagai pakej terbesar sejak awal konflik, bertujuan menjejaskan sumber pendapatan Rusia dan melemahkan kekuatan ketenteraan Presiden Vladimir Putin.

Beliau menegaskan bahawa Britain akan terus bekerjasama dengan Amerika Syarikat dan rakan-rakan Eropah bagi mencapai keamanan yang adil dan berkekalan, dengan memastikan Ukraine terlibat dalam setiap rundingan.

Amerika Syarikat telah memulakan rundingan untuk menamatkan konflik dengan Rusia, namun tanpa penyertaan Kyiv.

Sementara itu, Perdana Menteri Britain Keir Starmer dijangka berdepan cabaran diplomatik ketika bertemu Presiden AS, Donald Trump di Washington minggu depan, dalam usaha mengimbangi sokongan Britain terhadap Ukraine dengan keperluan mengekalkan hubungan erat dengan AS.

Menurut Lammy, sokongan Britain terhadap Ukraine kekal teguh, termasuk peruntukan bantuan ketenteraan sebanyak £3 bilion (US$3.8 bilion) setiap tahun serta kesediaan menghantar tentera sebagai pasukan pengaman jika diperlukan.

"Di medan perang, kami komited untuk memperkukuh kedudukan Ukraine, manakala di luar medan perang, kami akan terus berusaha mencapai keamanan berasaskan keadilan," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa tiba masanya untuk Eropah meningkatkan sokongan kepada Ukraine dan mencapai keamanan melalui kekuatan.

Selain itu, satu pengumuman berkaitan pertahanan juga dijangka dibuat.

"Tiga tahun selepas Putin melancarkan pencerobohan berskala penuh ke atas Ukraine, Britain kekal teguh bersama Ukraine, bukan sahaja melalui bantuan ketenteraan dan kemanusiaan, tetapi juga dengan menerima pelarian Ukraine ke dalam masyarakat kami serta menentang sebarang bentuk ancaman terhadap keselamatan benua Eropah," kata Lammy.

Beliau turut mengingatkan bahawa kesan pencerobohan Rusia telah dirasai jauh melangkaui medan perang, termasuk peningkatan harga tenaga yang memberi tekanan kepada isi rumah di Britain.- BERNAMA-PA Media/dpa

ROSLINA BINTI DIN