fb fb fb fb fb

Lapan pekerja terperangkap dalam runtuhan terowong di India

Foto AFP

MUMBAI, 23 Februari- Pasukan penyelamat di selatan India sedang giat menyelamatkan lapan pekerja yang dipercayai terperangkap dalam terowong pengairan yang runtuh semasa pembinaan, kata pegawai.

Kejadian malang itu berlaku di negeri Telangana, apabila aliran air dan tanah secara tiba-tiba menyebabkan sebahagian terowong runtuh.

Pekerja yang berada berhampiran sebuah jentera berjaya melarikan diri, manakala lapan jurutera dan buruh lain berhampiran pintu masuk dipercayai terperangkap di dalamnya, kata Parti Kongres yang memerintah negeri itu dalam satu kenyataan di platform X.

Sementara itu, Menteri Pengairan Negeri, N. Uttam Kumar Reddy berkata usaha sedang giat dijalankan bagi menyelamatkan mangsa yang terperangkap.

"Ini adalah kejadian yang malang, usaha mencari dan menyelamatkan secara berkoordinasi sedang dijalankan", katanya.

Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan India yang menyertai usaha menyelamat turut melaporkan bahawa sistem pengudaraan terowong masih berfungsi serta memastikan bekalan oksigen kepada mangsa yang terlibat.

Media melaporkan bahawa air perlu dipam keluar dan serpihan dibersihkan sebelum pasukan penyelamat dapat membantu mengesan dan memindahkan pekerja yang terperangkap.

Kemalangan di tapak pembinaan infrastruktur besar adalah perkara biasa di India.

Pada tahun 2023, seramai 41 pekerja berjaya diselamatkan selepas operasi menyelamat selama 17 hari bagi membantu menarik mangsa keluar dari terowong jalan Himalaya yang sebahagiannya runtuh di negeri Uttarakhand di utara India.-AFP

ROSLINA BINTI DIN