fb fb fb fb fb

UK perkenal inisiatif baharu lindungi kabel dasar laut daripada ancaman Rusia

Gabungan kapal tanpa pemandu, dron bawah air dan kecerdasan buatan (AI) ke dalam rangkaian pertahanan maritim Britain bagi memperkukuh keselamatan daripada ancaman Rusia / REUTERS

LONDON, 8 Disember -Britain melancarkan inisiatif baharu untuk menggabungkan kapal tanpa pemandu, dron bawah air dan kecerdasan buatan (AI) ke dalam rangkaian pertahanan maritimnya.

Langkah itu bagi meningkatkan keupayaan mengesan kapal selam, sekali gus melindungi kabel komunikasi dan saluran paip dasar laut daripada ancaman Rusia.

Pengumuman itu dibuat empat hari selepas Setiausaha Pertahanan United Kingdom (UK), John Healey, bersama Menteri Pertahanan Norway, Tore Sandvik, meninjau Maritime Capability Coalition di Portsmouth.

Menurut Kementerian Pertahanan UK, “jutaan pound” telah dilaburkan tahun ini untuk membangunkan sistem penderia antikapal selam bawah inisiatif Atlantic Bastion.

Langkah itu bertujuan memperkukuh keselamatan Atlantik Utara bagi Britain dan sekutu NATO.

Inisiatif berkenaan menghubungkan kapal, kapal selam, pesawat dan aset tanpa pemandu melalui rangkaian pengesanan akustik berasaskan AI, yang kemudiannya disepadukan ke dalam sistem penetapan sasaran digital.

Semasa lawatan tersebut, Healey dan Sandvik menyaksikan demonstrasi bot tanpa pemandu dan dron bawah air yang dikendalikan oleh anggota tentera Britain dan Norway.

Maritime Capability Coalition, yang dipimpin bersama kedua-dua negara, turut menyediakan latihan, peralatan dan kemudahan untuk memperkukuh keupayaan maritim Ukraine.

Healey berkata, aktiviti kapal perisik Rusia di perairan UK menunjukkan keperluan mendesak untuk meningkatkan kemampuan pengawasan negara.

“Kami menjejak kapal Yantar setiap masa. Ia memetakan paip dan kabel kritikal negara.

Jika kita mahu berada di hadapan musuh, kita perlukan teknologi untuk mengesan, mencari dan bertindak balas terhadap ancaman,” katanya.

Kerajaan UK menjangkakan rangkaian sistem baharu ini akan membolehkan keputusan taktikal dibuat dan dilaksanakan lebih pantas.

Sekali gus, meningkatkan perlindungan terhadap infrastruktur dasar laut yang menjadi nadi hubungan komunikasi dan tenaga negara. -REUTERS

FARIS IZZAT SHAHARUDIN