LONDON, 8 Disember -Agensi Keselamatan Kesihatan UK (UKHSA) pada Isnin mengesahkan penemuan satu strain baharu virus mpox di England.
Ia dikesan terhadap seorang individu yang baru pulang dari Asia.
"Kemampuan ujian genomik kami membolehkan kami mengesan strain mpox baharu ini,” kata Katy Sinka daripada UKHSA, agensi kerajaan yang bertanggungjawab mengawal penularan penyakit berjangkit.
UKHSA memaklumkan bahawa pihaknya sedang menilai kepentingan strain tersebut, yang mengandungi elemen daripada dua subjenis mpox: klad 1 yang lebih teruk serta klad 2.
"Penjujukan genom menunjukkan bahawa genom mpox ini mengandungi komponen klad Ib dan IIb," menurut kenyataan UKHSA.
Mpox dahulunya dikenali sebagai cacar monyet adalah jangkitan virus berkait rapat dengan smallpox, menyebabkan demam, sakit badan dan ruam kulit yang ketara, serta boleh membawa maut.
Jangkitan boleh berpunca daripada haiwan yang dijangkiti, atau melalui sentuhan rapat antara manusia.
“Adalah normal bagi virus untuk berevolusi, dan analisis lanjut akan membantu kami memahami bagaimana mpox sedang berubah,” kata Sinka. - AFP