fb fb fb fb fb

UK beri amaran serangan Rusia ke atas kapal kargo di Laut Hitam

(FOTO AFP)

LONDON, 5 Oktober - Kerajaan United Kingdom (UK) pada Rabu memberi amaran bahawa Rusia akan menyasarkan kapal-kapal awam di Laut Hitam dengan meletakkan periuk api laut berdekatan pelabuhan dan kemudian menyalahkan Ukraine.

London bulan lalu berkata tentera Rusia menyasarkan sebuah kapal kargo awam di rantau itu dengan "pelbagai peluru berpandu" namun berjaya dipintas oleh pertahanan udara.

Memetik risikan yang tidak didedahkan, terdapat risiko serangan ke atas kapal kargo yang melalui "koridor kemanusiaan" Ukraine untuk menghalang eksport bijirin negara itu.

(FOTO AFP)

"Sasaran buruk Rusia terhadap perkapalan awam di Laut Hitam menunjukkan sikap tidak menghiraukan Putin sepenuhnya terhadap kehidupan orang awam dan keperluan mereka yang paling terdedah di dunia.

"Dunia sedang memerhati dan melihat percubaan sinis Rusia untuk menyalahkan Ukraine atas serangan mereka," kata Setiausaha Luar, James Cleverly.

Cleverly berkata dengan mengeluarkan penilaian laporan perisikannya, "UK berusaha untuk mendedahkan taktik Rusia untuk menghalang sebarang kejadian sedemikian daripada berlaku".

Pada Julai, Rusia telah menarik diri daripada Inisiatif Bijian Laut Hitam.

Sejak itu, serangan Rusia telah merosakkan 130 kemudahan infrastruktur pelabuhan dan memusnahkan hampir 300,000 tan bijirin, cukup untuk memberi makan lebih daripada satu juta orang selama setahun.

Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak pada Rabu mengesahkan sokongan UK kepada Ukraine.

"Jika kita memberi Presiden Zelensky senjata, rakyat Ukraine akan menyelesaikan tugas itu," katanya kepada persidangan tahunan parti Konservatif di Manchester.-AFP

Media Baharu