fb fb fb fb fb

Ujian tanpa kru ke-9, Roket Starship terbang lebih jauh

Roket futuristik Starship milik SpaceX, berjaya dilancarkan dari tapak pelancaran syarikat itu di Pantai Teluk Texas/ REUTERS

TEXAS, 28 Mei- Roket futuristik Starship milik SpaceX, berjaya dilancarkan dari Texas pada Selasa dalam ujian tanpa kru ke-9, mencatatkan jarak penerbangan lebih jauh berbanding dua percubaan terdahulu yang berakhir dengan letupan.

Roket dua peringkat berkenaan, terdiri daripada kapal angkasa Starship yang dipasang di atas roket penggalak Super Heavy milik SpaceX, berlepas sekitar pukul 7.36 malam waktu tempatan dari tapak pelancaran syarikat itu di Pantai Teluk Texas.

Buat pertama kali, SpaceX menggunakan penggalak Super Heavy yang pernah digunakan sebelum ini, dalam usaha menunjukkan potensi kebolehgunaan semula sistem pelancar mereka.

Seperti dijangka, roket peringkat pertama setinggi 71 meter itu berjaya berpisah daripada kenderaan peringkat atas beberapa minit selepas pelancaran dan memulakan perjalanan kembali ke Bumi.

Namun, pusat kawalan SpaceX hilang hubungan dengan penggalak itu semasa proses pendaratan, dan ia dipercayai terhempas ke laut selepas gagal melakukan pendaratan terkawal seperti dirancang.

Kenderaan peringkat atas Starship pula meneruskan perjalanan ke angkasa dan berjaya mencapai trajektori suborbital seperti yang dirancang kira-kira sembilan minit selepas pelancaran.

Bagaimanapun, satu daripada kegagalan ujian melibatkan pintu kargo Starship yang tidak dapat dibuka untuk melepaskan sekumpulan satelit simulasi.

Menurut perancangan, penerbangan ujian selama kurang 90 minit itu sepatutnya diakhiri dengan proses turun secara terkawal dan mendarat di Lautan Hindi.

Namun, kira-kira setengah jam selepas pelancaran, SpaceX memaklumkan bahawa pasukan kawalan penerbangannya hilang kawalan orientasi terhadap Starship, menyebabkan kenderaan itu berpusing semasa menuju ke fasa kemasukan semula ke atmosfera Bumi.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI