fb fb fb fb fb

Jerebu: New Delhi larang kemasukan kenderaan selepas Deepavali

Keadaan jerebu akibat pencemaran udara di New Delhi/AFP

NEW DELHI, 7 November- New Delhi akan menyekat kemasukan kenderaan persendirian selama seminggu dalam usaha untuk menawarkan penduduk berehat daripada asap beracun yang 'mencekik' penduduk ibu negara India itu.

Menteri Alam Sekitarnya, Gopal Rai berkata, skim catuan jalan raya akan diperkenalkan selama seminggu mulai Isnin depan iaitu sehari selepas perayaan Deepavali susulan jangkaan peningkatan jerebu akibat mercun dan bunga api.

Ia bukan kali pertama skim sekatan jalan raya diusulkan bagi New Delhi dan pernah dilaksanakan pada 2016, 2017 dan 2019.

Rai juga berkata, sekolah di bandar itu akan ditutup sehingga 11 November dan aktiviti pembinaan akan dilarang daripada beroperasi.

New Delhi didiami oleh kira-kira 30 juta penduduk sentiasa disenaraikan sebagai salah satu bandar paling tercemar di dunia dengan ratusan ribu kematian pramatang setiap tahun.

Kajian pakar dari Amerika Syarikat pada 2017 mendapati sekitar 1 juta orang meninggal dunia di India sebelum 'waktunya' akibat pencemaran udara.

Penduduk di negara itu berdepan masalah jerebu setiap tahun pada permulaan musim sejuk terutama disebabkan aktiviti pembakaran oleh golongan petani. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA