fb fb fb fb fb

14 pendatang Venezuela maut dalam kebakaran di Chile

FOTO AFP

SANTIAGO, 7 November- Kebakaran yang memusnahkan sebuah penempatan di selatan Chile dilapor telah meragut nyawa 14 orang pendatang warga Venezuela, termasuk lapan kanak-kanak, malam tadi.

Timbalan Datuk Bandar Coronel, Javier Valencia berkata, tiga keluarga terlibat dalam tragedi itu sambil menambah punca kebakaran masih tidak diketahui.

Bagaimanapun, penyiasat sedang meneliti sama ada unit pemanas menjadi penyebab kebakaran.

Valencia turut menyatakan kebimbangan dengan peningkatan penempatan atas tanah tidak dibenarkan yang dikenali di Chile sebagai "perkhemahan".

Peningkatan jumlah "perkhemahan" tersebut dilapor sering mencetuskan kebakaran hutan.

Sejak 2017, ketibaan pendatang Venezuela ke Chile meningkat pesat dengan ribuan pendatang melintasi sempadan negara secara berjalan kaki dari Bolivia atau Peru melalui lintasan "rahsia".

Menurut anggaran rasmi, daripada 1.7 juta warga asing yang tiba di Chile dalam beberapa tahun kebelakangan ini, hampir separuh adalah rakyat Venezuela yang melarikan diri daripada krisis ekonomi di negara mereka. -AFP

SITI AISHAH BINTI MD ISA