Dubai, 24 Mei– Emiriah Arab Bersatu (UAE) merekodkan suhu tertinggi pada bulan Mei, hari kedua berturut-turut apabila suhu mencecah 51.6 darjah celsius pada Sabtu, menghampiri rekod suhu tertinggi pernah dicatatkan di negara itu.
Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan UAE menerusi platform X, suhu tertinggi itu direkodkan di Sweihan, Al Ain pada pukul 1.45 petang waktu tempatan (9.45 pagi GMT).
Suhu tertinggi yang pernah direkodkan di UAE sejak dokumentasi bermula pada tahun 2003 ialah 52 darjah celsius, yang dicatatkan di Pulau Al Yasat, Abu Dhabi pada tahun 2010.
“Rekod suhu tertinggi hari ini ialah 51.6 darjah celsius di Sweihan,” kata agensi itu dalam hantaran di platform X.
Negara padang pasir yang juga merupakan pengeksport minyak utama dunia ini terletak di salah satu kawasan paling panas di dunia dan amat terdedah kepada risiko perubahan iklim.
Pada hari sebelumnya, suhu di Sweihan dan Abu Dhabi telah melepasi rekod tertinggi bulan Mei yang pernah dicatatkan sebelum ini, iaitu 50.2 darjah celsius pada tahun 2009.
Sementara itu, di Dubai merekodkan, suhu mencecah pertengahan 40 darjah celsius. Keadaan itu turut menyebabkan penghawa dingin dalam kenderaan gagal menampung kepanasan melampau. Penduduk tempatan menyuarakan rasa terkejut terhadap fenomena ini berlaku lebih awal dalam tahun ini.
Bagaimanapun, dalam cuaca panas terik, penduduk Dubai masih menjalankan aktiviti harian, dengan sesetengahnya membawa payung untuk berteduh, manakala penjual air dan peniaga jus tempatan mempunyai lebih ramai pelanggan.
UAE yang menjadi tuan rumah persidangan iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), COP28 pada 2023, juga mencatatkan purata suhu harian tertinggi iaitu 42.6 darjah celsius pada April tahun ini.
Menurut para saintis, gelombang haba berulang adalah bukti jelas pemanasan global dan dijangka akan menjadi lebih kerap, panjang dan ekstrem.-AFP