AUSTRALIA, 25 Mei- Banjir yang melanda Wingham yang terletak di Lembah Manning di sini disifatkan sebagai yang paling buruk dalam tempoh lebih lima abad di lokasi berkenaan.
Kaye Vandermey, penduduk di Wingham juga berkesempatan meninjau kerosakan pada perabot dan barangan rumahnya akibat banjir besar yang melanda baru-baru ini.
Banjir yang melanda tenggara Australia itu berpunca daripada hujan lebat berterusan selama beberapa hari dan telah digelar sebagai bencana paling dahsyat dalam lebih setengah abad.
"Ini memang yang paling teruk. Ya, sebab banjir yang lepas, kira-kira empat atau lima tahun lalu, hanya tingkat bawah yang terjejas. Empat bilik utama tidak apa-apa," kata Kaye.
Kaye turut menerima bantuan daripada ahli keluarga untuk membersihkan dan memulihkan keadaan. Walaupun kediamannya sudah beberapa kali dilanda banjir, Kaye menegaskan bahawa dia tidak akan berpindah.
"Memang saya tak mampu untuk berpindah. Tiada siapa pun yang akan bayar harga tinggi (untuk rumah ini), dan saya sendiri tak mampu nak keluar.
"Jadi, saya akan terus tinggal di sini, dan harap-harap ini yang terakhir. Tiga kali kejadian ini sudah cukup," luah Kaye.
Banjir tersebut menenggelamkan persimpangan jalan dan papan tanda di beberapa bandar di pantai tengah utara, serta menenggelamkan kenderaan selepas paras air sungai naik mendadak dan melimpahi tebing.
Kira-kira 50,000 orang terputus hubungan dan terperangkap akibat bencana itu.
Menurut pakar kejadian cuaca ekstrem di Australia adalah kesan perubahan iklim. Selepas mengalami kemarau dan kebakaran hutan dahsyat pada penghujung dekad lalu, negara itu kini berdepan siri banjir besar yang mula berlaku sejak awal tahun 2021.- REUTERS