MUMBAI, 25 Mei- Hujan monsun mula melanda pantai negeri paling selatan India, Kerala, lapan hari lebih awal daripada kebiasaan, sekali gus ketibaan paling awal dalam tempoh 16 tahun.
Menurut Jabatan Meteorologi India (IMD), ketibaan monsun di Kerala pada 24 Mei merupakan yang paling awal sejak 23 Mei 2009.
Setakat ini, hujan monsun telah melanda seluruh Kerala serta sebahagian Tamil Nadu, Karnataka dan negeri timur laut Mizoram, menurut IMD.
Jabatan itu turut menjangkakan bahawa keadaan semasa menggalakkan hujan monsun ke negeri-negeri seperti Goa, Maharashtra, Andhra Pradesh, negeri-negeri timur laut lain, Bengal Barat, serta bahagian lain Karnataka dan Tamil Nadu dalam masa dua hingga tiga hari akan datang.
Sementara itu, Naib Presiden Penyelidikan Komoditi di Phillip Capital India, Ashwini Bansod berkata permulaan musim monsun yang lebih awal lebih bersama hujan yang mencukupi akan membantu petani di kawasan selatan dan tengah India untuk memulakan penanaman lebih awal, sekali gus berpotensi meningkatkan hasil tanaman.
"Kelembapan tanah yang mencukupi dan penanaman awal berpotensi meningkatkan hasil pertanian," katanya.
Keadaan itu juga memberi harapan kepada hasil tuaian yang lumayan serta kelegaan daripada gelombang panas yang melampau.
Monsun barat daya ini merupakan nadi kepada ekonomi India yang bernilai AS$4 trilion, dengan menyumbang hampir 70 peratus jumlah hujan tahunan yang diperlukan negara itu untuk pengairan pertanian dan mengisi semula empangan.
Hampir separuh kawasan pertanian India tidak mempunyai sistem pengairan dan bergantung sepenuhnya kepada hujan monsun tahunan yang berlaku dari Jun hingga September bagi penanaman tanaman seperti padi, jagung, kapas, kacang soya dan tebu.
IMD sebelum ini juga meramalkan bahawa India akan menerima hujan monsun melebihi purata untuk tahun kedua berturut-turut pada 2025.-REUTERS