PAKISTAN, 25 Mei- Sekurang-kurangnya lapan individu maut manakala 45 lagi cedera apabila ribut debu diikuti hujan lebat melanda beberapa kawasan di wilayah Punjab, di sini.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pihak Berkuasa Pengurusan Bencana Wilayah (PDMA) kematian dilaporkan berpunca daripada runtuhan rumah dan mangsa berada di kawasan yang tidak selamat ketika kejadian.
Beberapa buah rumah turut mengalami kerosakan akibat bencana itu.
Di Lahore, ibu negeri wilayah Punjab, pokok-pokok dan panel solar dilaporkan rosak teruk. Susulan itu, pihak PDMA menggesa penduduk supaya tidak keluar dari kediaman masing-masing bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
Ribut tersebut berlaku selepas wilayah berkenaan mengalami gelombang haba yang berterusan sepanjang minggu.
Sebelum ini Jabatan Meteorologi Pakistan telah mengeluarkan ramalan berhubung kemungkinan berlaku ribut debu dan hujan petir pada hari kejadian.- REUTERS