fb fb fb fb fb

Serangan Israel di Khan Yunis ragut 9 nyawa anak doktor Gaza

Foto AFP

GAZA, 25 Mei-  Serangan udara Israel di bandar Khan Yunis, selatan Gaza, meragut nyawa sembilan anak kepada sepasang suami isteri doktor Gaza.

Jurucakap Pertahanan Awam, Mahmud Bassal, berkata pihaknya telah mengeluarkan mayat sembilan kanak-kanak, sebahagiannya dalam keadaan rentung dari kediaman Dr Hamdi al-Najjar dan isterinya, Dr Alaa al-Najjar, yang kesemuanya merupakan anak pasangan itu.

Bassal turut memaklumkan bahawa Dr. Hamdi dan seorang lagi anak mereka, Adam, turut cedera parah akibat serangan itu.

Menurut sumber perubatan di Hospital Nasser, tempat Dr. Alaa bertugas, Adam berusia 10 tahun.

Rakaman video yang dikeluarkan oleh agensi pertahanan awam menunjukkan usaha menyelamat dan mengeluarkan mayat yang terbakar dari rumah yang musnah.

Majlis pengebumian kesemua sembilan kanak-kanak malang itu diadakan di Hospital Nasser, menurut rakaman AFP.

Pengarah Kesihatan Kementerian Kesihatan Gaza yang dikendalikan Hamas, Muneer Alboursh, berkata serangan berlaku sejurus selepas Hamdi menghantar isterinya ke tempat kerja.

“Beginilah keadaan yang terpaksa dihadapi petugas kesihatan kami di Gaza. Kata-kata tidak mampu menggambarkan kesakitan ini,” katanya di platform X.

Sementara itu, menurut Kementerian Kesihatan Gaza, sejak operasi ketenteraan Israel disambung semula, sekurang-kurangnya 3,747 rakyat Palestin terbunuh, menjadikan jumlah korban keseluruhan perang Israel-Hamas meningkat kepada 53,901 orang, kebanyakannya orang awam.- AFP

ROSLINA BINTI DIN