FREETOWN, 24 Mei- Kes jangkitan Mpox di Sierra Leone terus meningkat dengan jumlah keseluruhan mencecah 3,011 kes dan 14 kematian sejak awal tahun ini, menurut data baharu yang dikeluarkan oleh kerajaan negara itu.
Kementerian Kesihatan Sierra Leone memaklumkan bahawa semua wilayah di negara Afrika Barat tersebut kini telah merekodkan kes Mpox, menandakan penularan yang meluas ke seluruh negara.
Angka terkini tersebut menunjukkan peningkatan hampir 50 peratus berbanding kemas kini sebelumnya pada 13 Mei lalu, yang ketika itu mencatatkan 2,045 kes dan 11 kematian sejak awal tahun.
Menurut pihak berkuasa, sebuah pusat latihan polis di ibu negara Freetown telah diubah suai menjadi kemudahan yang terdiri daripada 400 katil untuk menangani kes yang semakin meningkat.
Penyakit ini pertama kali dikenal pasti di Republik Demokratik Congo pada tahun 1970 dan sebelum tahun 2022, ia kebanyakannya menular di beberapa negara di Afrika. Namun, sejak 2022, penularannya semakin meluas.
Justeru, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan tahap amaran tertinggi terhadap wabak ini pada tahun 2024.
Mpox turut menyebabkan demam tinggi dan luka pada kulit.
Sedekad yang lalu, Sierra Leone adalah salah satu negara yang paling teruk terjejas oleh wabak Ebola, antara 2014 hingga 2016 yang mengorbankan kira-kira 4,000 nyawa, termasuk hampir tujuh peratus daripada petugas kesihatan negara itu.
Beberapa negara Afrika lain turut mencatat peningkatan kes Mpox, termasuk Republik Congo, Rwanda, Tanzania, Burundi dan Kenya yang masing-masing merekodkan ribuan kes jangkitan.-AFP