fb fb fb fb fb

Turkiye kutuk keras serangan bakar masjid di selatan Cyprus

(FOTO HIASAN/ REUTERS)

ANKARA, 27 Ogos - Kementerian Luar Turkiye pada Sabtu mengutuk sekeras-kerasnya serangan yang membakar Masjid Koprulu Haci Ibrahim Aga di bandar Limassol dalam pentadbiran Cyprus Greece.

"Serangan keji itu adalah tambahan kepada perbuatan-perbuatan lampau terhadap pelbagai masjid di Pentadbiran Cyprus Greece," laporan Agensi Anadolu (AA) memetik kenyataan kementerian tersebut.

Ankara menyokong penuh kenyataan yang dikeluarkan oleh Kementerian Luar Republik Turkiye Cyprus Utara (TRNC) mengenai isu itu, tambahnya.

“Sebagai contoh terbaharu Islamofobia yang semakin meningkat di seluruh Eropah, serangan ini bukan sahaja menyasarkan umat Islam tetapi juga sekali lagi menunjukkan betapa teruknya ancaman terhadap nilai kemanusiaan kita.

"Sebaliknya, kebencian dan sikap tidak bertolak ansur yang didedahkan oleh serangan tersebut menunjukkan betapa jauhnya beberapa segmen masyarakat Cyprus Greece daripada pemahaman hidup bersama dalam keamanan, kedamaian dan toleransi dengan orang Islam Turkiye Cyprus, memberikan bukti tambahan bahawa visi dua negara pihak Cyprus Turkiye merupakan satu-satunya model realistik untuk penyelesaian isu Cyprus," menurut kenyataan itu.



(FOTO FB Republic of Türkiye Ministry of Foreign Affairs )

Cyprus terperangkap dalam pertikaian berdekad antara penduduk Cyprus Greece dan Cyprus Turkiye, walaupun terdapat beberapa siri usaha diplomatik oleh PBB untuk mencapai penyelesaian menyeluruh.

Turkiye menyokong penuh penyelesaian dua negara di pulau Cyprus berdasarkan kesaksamaan kedaulatan dan status antarabangsa yang sama antara dua negara itu. - BERNAMA

 

Media Baharu