fb fb fb fb fb

Perancis larang pemakaian jubah di sekolah- Menteri

(FOTO FAIL/ AFP)

PARIS, 28 Ogos -Pihak berkuasa Perancis akan melarang pelajar perempuan memakai abaya atau jubah panjang longgar yang lazimnya dipakai oleh wanita Muslim di semua sekolah kerajaan.

Perkara itu diumumkan Menteri Pendidikan, Gabriel Attal menjelang pembukaan musim baharu persekolahan.di seluruh negara mulai 4 September depan.

"Saya telah memutuskan bahawa abaya (jubah) tidak boleh lagi dipakai di sekolah.

"Apabila anda memasuki kelas, anda seharusnya tidak dapat mengenal pasti agama seseorang pelajar itu hanya dengan melihat penampilan mereka," kata Gabriel dalam wawancara dengan sebuah stesen televisyen tempatan.



(Menteri Pendidikan Perancis, Gabriel Attal/ AFP)

Keputusan ini dibuat selepas berbulan isu pemakaian menutup aurat di sekolah-sekolah Perancis didebatkan selain kaum wanita telah lama dilarang memakai tudung.

Sementara itu, terdapat laporan semakin ramai pelajar memakai jubah ke sekolah dan ia didakwa mencetuskan ketegangan antara guru dan ibu bapa.

Mengulas lanjut mengenai perkara berkenaan, Gabriel menjelaskan bahawa sekularisme bermaksud kebebasan untuk membebaskan diri melalui sekolah.

Justeru, beliau menggambarkan jubah sebagai simbol keagamaan yang bertujuan untuk menguji penentangan Perancis terhadap tempat perlindungan sekular yang mesti diwujudkan oleh sekolah.

Pada tahun 2004, negara ini melarang pemakaian tudung di sekolah dan pada tahun 2010 pula meluluskan undang-undang mengharamkan pemakaian niqab atau purdah yang menutup sebahagian besar wajah wanita Muslim (kecuali mata) di tempat umum sehingga mencetus kemarahan lima juta komuniti Islam.

Sekolah-sekolah umum di Perancis juga tidak mengizinkan pemakaian salib besar dan kopiah Yahudi.

Abaya (jubah) disifat sebagai salah satu daripada sekumpulan pakaian yang boleh diharamkan pemakaiannya jika ia "dipakai dengan cara yang menunjukkan pegangan agama secara terbuka".

Dewan Muslim Perancis (CFCM) iaitu sebuah organisasi yang mencakupi banyak pertubuhan bukan kerajaan Islam berpendapat, pakaian yang dikenakan tidak menggambarkan "tanda agama." - AFP

Media Baharu