(Foto hiasan)
SEOUL, 27 Ogos - Korea Utara membenarkan warganegaranya yang berada di luar negara pulang ke negara itu selepas beberapa tahun sekatan sempadan yang ketat semasa pandemik COVID-19.
Ibu Pejabat Pencegahan Wabak Kecemasan Negeri dalam satu kenyataan menerusi agensi berita Korean Central News Agency (KCNA), berkata keputusan tersebut dibuat selari dengan situasi pandemik di seluruh dunia yang semakin baik.
Korea Utara menutup sempadannya sejak awal tahun 2020 sebagai langkah mengekang penularan pandemik tersebut.
"Mereka yang kembali akan diletakkan di bawah pemerhatian perubatan di wad kuarantin selama seminggu," kata kenyataan itu.
(Foto hiasan/ REUTERS)
Pengumuman itu dibuat beberapa hari selepas penerbangan Air Koryo dari Pyongyang mendarat di Beijing buat pertama kali sejak penutupan sempadan semasa pandemik pada 2020. Bagaimanapun, tidak dapat dipastikan butiran penumpang dalam penerbangan tersebut.
Sebuah syarikat pelancongan barat yang beroperasi di Korea Utara berkata kelihatan seperti penerbangan yang akan membawa pulang warga Korea Utara yang terperangkap di China semasa penutupan sempadan.
Perjalanan kereta api dan kapal kargo juga telah meningkat secara perlahan sepanjang tahun lalu, namun Korea Utara baru sahaja mula membenarkan beberapa perjalanan penumpang antarabangsa.
Bulan lalu, delegasi kerajaan China dan Rusia menghadiri perarakan tentera di Pyongyang, merupakan pembesar asing yang pertama ke negara itu dalam tempoh beberapa tahun.
Sementara itu, bulan ini bas yang membawa atlet Korea Utara ke Kejohanan Taekwondo di Kazakhstan melintasi sempadan ke China.
Beberapa kedutaan asing di Pyongyang juga ditutup kerana tidak dapat melaksanakan giliran kakitangan atau menghantar bekalan.- REUTERS