fb fb fb fb fb

Turki tahan lebih 500 individu disyaki terlibat cubaan rampasan kuasa 2016

Pendakwah dan Cendiakawan Turki, Fethullah Gulen yang dikehendaki kerajaan Erdogan kerana didakwa dalang cubaan rampasan kuasa 2016/ Foto Reuters

ANKARA, 14 Mei - Pihak berkuasa Turki pada Selasa menahan 544 individu yang disyaki mempunyai kaitan dengan pendakwah dan cendiakawan Fethullah Gulen, individu yang didakwa Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan sebagai dalang disebalik cubaan rampasan kuasa pada 2016.

Menteri Dalam Negeri Turki, Ali Yerlikaya memaklumkan di X bahawa penahanan dibuat di 62 daripada 81 wilayah menyasarkan individu direkrut oleh FETO atau Kumpulan Pengganas Fethullah untuk menyertai pelbagai tahap perkhidmatan awam negara berkenaan.

"Kami tidak akan melepaskan walau seorang pun anggota FETO", kata Yerlikaya di X.

Suspek dituduh mendaftarkan diri bagi menduduki peperiksaan perkhidmtan awam di bawah arahan FETO dan berhubung menerusi "Byelock" iaitu aplikasi mesej yang dipercayai oleh Kerajaan Turki di bawah kawalan Fethullah Gulen.

Gulen, yang tinggal di Amerika syarikat (AS) sejak 1999 kerap kali menafikan penglibatan kumpulannya di sebalik cubaan rampasan kuasa pada Julai 2016.

Pernah menjadi sekutu rapat kepada Erdogan, Gulen dituduh menjadi dalang di sebalik tuduhan rasuah terhadap kerajaan pada 2013 ketika Erdogan menjadi Perdana Menteri.

Kerajaan pimpinan Erdogan mengambil tindakan keras selepas kegagalan rampasan kuasa pada 2016 dengan penangkapan ribuan orang dan lebih 14,000 penjawat awam dipecat atau digantung kerja. Manakala 3,000 orang dijatuhi hukuman penjara seumur hidup.

Turki seringkali meminta negara barat untuk mengekstradisi pengikut Gulen selain menjadikannya sebagai syarat untuk menerima keahlian Finland dan Sweden dalam NATO sebelum akhirnya menggugurkan tuntutan tersebut.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD