fb fb fb fb fb

Turki mohon PBB ubah nama "Turkey" kepada “Turkiye”

(Foto Twitter Cavasoglu)

AMERIKA SYARIKAT, 3 Jun- Nama negara Turki (Bahasa Inggeris Turkey) kini perlu diubah kepada “Turkiye” dalam bahasa asing. Turki telah memaklumkan perubahan itu kepada Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) atas arahan presiden.

“Perubahan berkuat kuasa serta-merta,” menurut Ketua Jurucakap PBB, Stephane Dujarric kepada AFP melalui email.

Dujarric turut menyatakan surat permohonan rasmi pertukaran itu telah diterima ibu pejabat PBB di New York pada Rabu.

Sehari sebelum itu Menteri Luar Turki, Mevlut Cavasoglu menerusi Twitter memuat naik gambarnya menandatangani satu surat yang ditujukan kepada Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres. 

“Menerusi surat yang saya tujukan kepada Setiausaha Agung PBB hari ini, kami mendaftarkan nama negara kami dalam bahasa asing di PBB sebagai “Turkiye”, tulisnya.


(Foto Twitter Menteri Luar Turki, Mevlut Cavasoglu) 

Tambahnya, perubahan itu akan menamatkan proses "mempertingkatkan nilai jenama negara," satu inisiatif yang dimulakan oleh Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan yang telah memimpin negara itu selama hampir dua dekad.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Turki telah berusaha untuk menukar penjenamaan produknya daripada “made in Turkey atau buatan Turki" kepada "made in Turkiye."

Sebagai tambahan ia juga menjadikan tatanama PBB sepadan dengan cara negara itu dieja dalam bahasa Turki, selain perubahan itu juga untuk membezakan nama negara itu dengan nama spesis burung iaitu “turkey” atau Bahasa Melayu dipanggil ayam piru atau ayam belanda.

“Perubahan nama mungkin nampak kurang cerdik bagi sesetengah pihak, namun di pihak Erdogan dapat menjaga penghormatan antarabangsa terhadap negara,” kata profesor Universiti Georgetown, Mustafa Aksakal, memetik laporan The New York Times.

Akhbar itu turut melaporkan langkah dibuat menjelang pilihan raya presiden tahun depan dan ulang tahun ke-100 penubuhan Turki selepas pembubaran Empayar Uthmaniyyah. -AFP

Media Baharu