fb fb fb fb fb

Tukar sampah dengan beras, usaha pulihara alam sekitar

FOTO REUTERS

MABINI, 3 Julai - Sekumpulan sukarelawan di Filipina mencipta kaedah unik dengan menukar sampah plastik dengan beras, dalam usaha mendidik dan memberi kesedaran penduduk terhadap kebersihan alam sekitar.

Program 'Plastik Palit Bigas' atau 'plastik sebagai pertukaran beras' itu diketuai oleh Giulio Endaya dan kumpulan sukarelawannya dengan melibatkan penduduk bandar Mabini.

Penduduk bertukar-tukar guni sampah yang dikutip dari pantai tanpa mengira berat untuk ditukar kepada beras.

Projek itu dibiayai hasil daripada sumbangan individu secara persendirian dan syarikat kecil yang menyokong pemuliharaan marin, menurut Endaya.

Mabini merupakan destinasi selam skuba popular yang terletak di Segitiga Terumbu Karang, sebuah pusat biodiversiti marin global yang merangkumi enam negara, termasuk Malaysia, Filipina dan Indonesia.

Kawasan itu menyaksikan peningkatan jumlah sampah di sepanjang pantai setiap tahun, kata Endaya.

"Saya pernah melihat penyu terjerat dalam jaring dan jenis plastik lain... Dan baru-baru ini kami telah menemui semakin banyak mikroplastik walaupun dalam ikan yang kami makan jadi ia juga berbahaya kepada kami," katanya.

Menurut Endaya, sejak usaha pembersihan bermula Oktober 2022, lebih 4,300 kilogram (9480 paun) sampah telah dikumpul dan ditukar dengan sejumlah 2,600 kilogram (5732 paun) beras.

Program itu memberi kesan positif kepada beberapa penduduk seperti Janeth Acevedo, 46 ​​tahun, yang terpaksa berhadapan dengan peningkatan kos barangan asas seperti beras.

"Dalam sebulan saya memerlukan empat setengah guni beras, sekarang saya hanya perlu membeli dua guni yang merupakan bantuan besar dalam menjimatkan wang," katanya sambil mengasingkan sampah semasa pemanduan pembersihan.

Filipina dikategorikan sebagai negara tercemar dengan sisa buangan plastik disepanjang pantainya, menurut laporan yang kemas kini hingga April 2022 daripada projek Our World in Data di Universiti Oxford. - REUTERS

TETITIA YUSOFF