fb fb fb fb fb

Tujuh maut dalam lumba kereta di Sri Lanka

FOTO AFP

COLOMBO, 22 April- Sebuah acara sukan permotoran di Sri Lanka bertukar tragedi apabila sekurang-kurangnya tujuh orang maut dan 21 lagi mengalami kecederaan apabila salah sebuah kereta yang sedang berlumba di litar merempuh kawasan penonton, semalam.

Acara lumba tersebut adalah anjuran tentera negara itu di litar Fox Hill yang turut diselenggara oleh pihak berkenaan.

Menerusi video tular, menunjukkan seorang kru litar mengibarkan bendera kuning sebagai amaran agar pemandu lain memperlahankan kenderaan selepas sebuah kereta terbalik di landasan.

Bagaimanapun, sebuah kereta berwarna merah telah hilang kawalan dan merempuh orang ramai di kawasan menonton.

Jurucakap polis, Nihal Thalduwa berkata, seorang daripada tujuh korban adalah kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun.

Terdahulu, Ketua Tentera negara itu, Jeneral Vikum Liyanage mengumumkan kemasukan percuma kepada penonton bagi mempromosikan sukan berkenaan.

Liyanage berkata, kira-kira 100,000 penonton dijangka hadir pada acara tersebut. -AFP

SITI AISHAH MD ISA