fb fb fb fb fb

Tujuh maut akibat penyakit Legionnaires

WARSAW, 25 Ogos- Tujuh orang di bandar Rzeszow di tenggara Poland disahkan meninggal dunia, akibat wabak penyakit Legionnaires.

Ketua Perkhidmatan Pemeriksaan Kesihatan Poland, Krzysztof Saczka berkata 76 orang lagi telah dijangkiti penyakit itu.

"Secara keseluruhan, empat lelaki dan tiga wanita disahkan meninggal dunia.

"Mereka berumur 63 hingga 95 tahun dan menderita penyakit kanser, masalah jantung atau penyakit kronik lain," kata Saczka pada Jumaat, kepada televisyen Polsat News..

Penyakit Legionnaires dikaitkan dengan air yang tercemar atau sistem penyaman udara yang tidak bersih.

Ia boleh menyebabkan demam dan radang paru-paru, terutama dalam kalangan mereka yang mempunyai sistem imun lemah, walaupun tidak berjangkit secara langsung dari orang ke orang.

Punca wabak bagaimanapun masih tidak jelas.

Dalam pada itu, pihak berkuasa di Rzeszow, sebuah bandar dengan kira-kira 200,000 orang, telah meningkatkan prosedur pembasmian kuman.

Penyakit itu mengambil nama daripada wabak pertama yang muncul pada tahun 1976 di sebuah hotel di Philadelphia, di mana persatuan veteran tentera Legion Amerika mengadakan persidangan.

Lebih 220 orang jatuh sakit, 34 daripadanya meninggal dunia.-AFP

(Foto Hiasan)

Media Baharu