(Foto Reuters)
TOKYO, 25 Ogos- Lebih 100 orang berhimpun di hadapan kediaman rasmi Perdana Menteri, Fumio Kishida, di sini pada Jumaat, sehari selepas tindakan Jepun melepaskan sisa air radioaktif yang dirawat dari loji nuklear Fukushima ke Lautan Pasifik.
Penunjuk perasaan dilihat memegang sepanduk, sambil melaungkan slogan dan menyanyikan lagu protes secara serentak sebagai menentang tindakan itu.
"Malangnya pelepasan air telah bermula, tetapi kami tidak akan berputus asa. Kami ingin menghentikannya secepat mungkin supaya kami dapat mengurangkan jumlah keseluruhan air dilepaskan ke lautan. Itu sebabnya saya datang ke sini hari ini," kata Yoshiko Furukawa, 60.
"12 tahun masa diambil untuk perikanan Fukushima dapat menyambung semula perniagaan mereka, tetapi kini ia akan musnah.
"Mereka tidak akan dapat menjual ikan...China, termasuk Hong Kong, telah mengumumkan tidak akan mengimport ikan dari Jepun, jadi saya sangat bimbang tidak dapat lagi menjalankan perniagaan," menurut Yoko Kataoka, 81.
Pengendali loji Tokyo Electric Power (Tepco) mula melepaskan sisa air radioaktif yang dirawat dari loji kuasa nuklear Fukushima pada Khamis, dan menyatakan tidak mengenal pasti sebarang kelainan.
Tindakan itu telah mendorong China mengumumkan larangan menyeluruh terhadap semua produk akuatik dari Jepun, kerana tidak dapat dibuktikan air yang dilepaskan adalah selamat.
Pelepasan fasa pertama itu membabitkan 7,800 meter padu untuk kira-kira 17 hari.-REUTERS
(Penunjuk perasaan memegang sepanduk, sambil melaungkan
slogan dan menyanyikan lagu protes secara serentak/Foto Reuters)