fb fb fb fb fb

Tujuh hilang akibat banjir kilat di Sepanyol

Foto AFP

MADRID, 30 Oktober- Banjir kilat yang melanda selatan dan timur Sepanyol telah mengakibatkan tujuh individu hilang, pada Selasa.

Cuaca yang berpunca daripada hujan lebat berterusan itu turut mengganggu perjalanan kereta api dan jadual penerbangan.

Air banjir melimpah ke bandar Letur di wilayah timur Albacete, menghanyutkan kereta ke jalan, menurut gambar yang disiarkan di televisyen Sepanyol menunjukkan.

Wakil kerajaan pusat di Castilla-La Mancha, Milagros Tolon berkata pekerja perkhidmatan kecemasan menggunakan teknologi dron bagi mencari individu yang hilang berikutan banjir kilat di bandar itu.

"Keutamaan adalah untuk mencari orang-orang ini," kata Tolon kepada stesen televisyen awam, Sepanyol TVE.

Sementara itu, Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez menggesa orang ramai untuk mematuhi setiap arahan daripada pihak berkuasa.

"Saya mengikuti dengan teliti laporan mengenai orang hilang dan kerosakan yang disebabkan oleh ribut dalam beberapa jam kebelakangan ini.

"Berhati-hati dan elakkan perjalanan yang tidak perlu," tulis Sanchez di X.

"12 penerbangan yang sepatutnya mendarat di lapangan terbang Valencia telah dilencongkan ke bandar lain di Sepanyol akibat hujan lebat dan angin kencang," kata pengendali lapangan terbang Sepanyol Aena.

Selain itu, 10 lagi penerbangan yang sepatutnya berlepas atau tiba di lapangan terbang telah dibatalkan.

Dewan Bandaraya Valencia berkata semua sesi pembelajaran di sekolah, acara sukan ditangguh serta taman rekreasi turut akan ditutup.

Pengendali infrastruktur kereta api nasional (ADIF) berkata pihaknya juga telah menggantung semua perkhidmatan rel di wilayah Valencia sehingga keadaan kembali normal demi keselamatan penumpang.

"Kereta api berkelajuan tinggi antara Madrid dan bandar Valencia akan digantung sehingga pukul 10.00 pagi hari ini, berikutan kesan ribut," jelas ADIF.

Kerajaan wilayah dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa sebuah kereta api berkelajuan tinggi dengan 276 penumpang, tergelincir di wilayah selatan Andalusia.

Bagaimanapun, tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Agensi cuaca negeri AEMET mengisytiharkan amaran merah di wilayah Valencia dan tahap amaran kedua tertinggi di bahagian Andalusia.

Beberapa jalan terputus di kedua-dua wilayah akibat banjir.

Para saintis memberi amaran bahawa cuaca ekstrem seperti gelombang haba dan ribut menjadi lebih teruk akibat perubahan iklim.- AFP

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM