WASHINGTON, 31 Mei - Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump akan menggandakan tarif import keluli kepada 50 peratus.
"Kita akan menaikkan tarif keluli yang masuk ke Amerika Syarikat daripada 25 peratus kepada 50 peratus, yang akan lebih menjamin industri keluli," katanya pada Jumaat ketika berucap di sebuah kilang US Steel di Pennsylvania.
Sejak kembali ke Rumah Putih pada Januari, Trump telah mengenakan tarif besar-besaran terhadap sekutu dan lawan.
Beliau juga telah menyasarkan barangan tertentu mengikut sektor termasuk keluli, aluminium dan automobil dengan tarif sebanyak 25 peratus.
Dalam pada itu, Trump berkata bahawa tarif tersebut membantu melindungi syarikat AS, sambil menambah bahawa kilang itu tidak akan wujud sekiranya beliau tidak mengenakan tarif ke atas import logam semasa pentadbiran pertamanya.
Dalam ucapannya, beliau turut menegaskan bahawa "US Steel akan terus dikawal oleh Amerika Syarikat."
Beliau menambah bahawa tidak akan ada pemberhentian kerja atau pemindahan pekerjaan ke luar negara disebabkan oleh perjanjian tersebut. – AFP