KABUL, AFGHANISTAN, 31 Mei - Ribuan rakyat Afghanistan berhimpun ke jalanan di seluruh negara semalam bagi menyatakan solidariti terhadap Gaza dan membantah pengeboman berterusan oleh Israel, susulan seruan pihak berkuasa Taliban.
Perhimpunan besar itu berlangsung di beberapa bandar utama selepas solat Jumaat, dengan peserta mengibarkan bendera Palestin dan membakar gambar Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu.
"Kami hadir bagi menyatakan sokongan kepada Gaza, dan untuk memberitahu dunia bahawa Gaza tidak bersendirian. Di mana sahaja umat Islam ditindas, kami akan membela mereka dan mengecam kekejaman tersebut," kata Jannat, 28, kepada AFP di Kabul.
Israel memulakan semula operasi ketenteraan di Gaza sejak Mac lalu selepas gencatan senjata selama enam minggu gagal mencapai penyelesaian terhadap konflik yang telah berlarutan hampir 20 bulan.
Sekatan bantuan kemanusiaan yang dikenakan sejak 2 Mac juga hanya dilonggarkan secara separa baru-baru ini.
Situasi kemanusiaan di Gaza terus memburuk apabila Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran bahawa kira-kira dua juta orang di wilayah itu berdepan risiko kebuluran.
Perdana Menteri Taliban, Hassan Akhund, dalam satu kenyataan pada Jumaat mengecam tindakan Israel di Gaza yang disifatkan sebagai “pembunuhan beramai-ramai”, sambil meluahkan kebimbangan terhadap peningkatan keganasan terhadap orang awam Palestin.
“Keadaan terus meruncing dari hari ke hari, melanggar prinsip asas kemanusiaan,” katanya.
Walaupun tidak diiktiraf secara rasmi oleh masyarakat antarabangsa, kerajaan Taliban secara konsisten menyatakan sokongan terhadap perjuangan rakyat Palestin dan mengecam pencerobohan Israel di wilayah yang diduduki. - AFP