WASHINGTON, 10 Julai -Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan tarif import baharu sebanyak 50% ke atas tembaga bermula 1 Ogos,
Tarif berkenaan bagi menggalakkan pembangunan industri dalam negara yang penting untuk pertahanan, elektronik dan automotif.
Tarif itu turut bertujuan menggalakkan pelaburan dan pengeluaran dalam negara. Ketika ini, lebih dua pertiga tembaga AS dilombong di Arizona.
Projek pembukaan lombong besar oleh syarikat Rio Tinto dan BHP di kawasan tersebut masih tertangguh lebih sedekad.
Langkah berkenaan menyusuli beberapa tarif lain yang dikenakan sebelum ini, termasuk terhadap besi dan aluminium, yang menurut pakar ekonomi boleh meningkatkan kos kepada pengguna di AS.
White House telah menjalankan siasatan di bawah Seksyen 232 sejak Februari lalu, iaitu peruntukan undang-undang yang membenarkan presiden mengenakan tarif atas alasan keselamatan negara.
Trump berkata beliau menerima penilaian keselamatan negara yang menyatakan tembaga adalah bahan kritikal dan perlu dilindungi.
Trump menjelaskan bahawa tembaga diperlukan dalam banyak sektor penting seperti semikonduktor, pesawat, kapal, peluru, pusat data, bateri litium-ion, radar, sistem peluru berpandu, dan senjata hipersonik.
AS kini bergantung kepada import bagi hampir separuh keperluan tembaga halusnya, dengan jumlah 810,000 tan metrik diimport pada tahun 2024.
Negara yang paling terjejas akibat tarif ini ialah Chile, Kanada dan Mexico iaitu pembekal utama tembaga kepada AS.
Chile, Kanada dan Peru, yang semuanya mempunyai perjanjian perdagangan bebas dengan AS, telah meminta agar eksport mereka dikecualikan daripada tarif kerana ia tidak mengancam keselamatan negara AS. -REUTERS