SEOUL, 10 Julai-Bekas Presiden Korea Selatan, Yoon Suk Yeol, telah ditahan semula pada Khamis berhubung tindakannya mengisytiharkan undang-undang tentera.
Beliau kini ditahan di dalam sel berasingan sementara siasatan terhadap tuduhan pemberontakan diteruskan.
Suk Yeol mencetuskan krisis politik besar di Korea Selatan apabila beliau menghantar tentera bersenjata ke parlimen pada 3 Disember tahun lepas dalam usaha menghalang penggubal undang-undang daripada membatalkan pengisytiharan undang-undang tentera yang dibuatnya.
Beliau menjadi presiden Korea Selatan pertama yang ditahan ketika masih memegang jawatan, selepas ditangkap dalam serbuan awal pagi pada Januari lepas.
Sebelum itu, beliau menolak tangkapan selama berminggu-minggu dengan menggunakan pengawal keselamatan presiden untuk menyekat penyiasat.
Namun, Suk Yeol dibebaskan atas alasan prosedur pada Mac walaupun perbicaraan berkaitan tuduhan pemberontakan masih berlangsung.
Selepas Mahkamah Perlembagaan mengesahkan pemecatannya pada April, beliau enggan hadir ke beberapa sesi soal siasat, menyebabkan penyiasat memohon waran tangkap baharu bagi memaksa kerjasama.
Hakim kanan Mahkamah Daerah Pusat Seoul, Nam Se-jin, menjelaskan bahawa waran tangkap terbaru dikeluarkan kerana terdapat kebimbangan Suk Yeol akan memusnahkan bukti.
Bekas presiden berusia 64 tahun itu menghadiri perbicaraan selama tujuh jam pada Rabu sebelum dibawa ke pusat tahanan berhampiran Seoul.
Sepanjang sesi tersebut, beliau menafikan semua tuduhan.
Dengan waran diluluskan pada awal pagi Khamis, Suk Yeol kini ditahan secara berasingan dan boleh ditahan sehingga 20 hari, sementara pihak pendakwa melengkapkan pertuduhan terhadapnya termasuk pertuduhan tambahan.
Menurut Yun Bok-nam, Presiden "Lawyers for a Democratic Society", Suk Yeol boleh ditahan sehingga enam bulan selepas didakwa, walaupun pembebasan serta-merta masih mungkin secara teori.
Namun dalam kes tersebut, pendakwa menyatakan bahawa risiko pemusnahan bukti masih tinggi dan bukti kukuh telah pun diperoleh.
Pasukan undang-undang Suk Yeol menyifatkan permintaan penahanan semula itu sebagai tidak munasabah, dengan alasan bahawa beliau sudah dipecat dan tidak lagi mempunyai kuasa.
Awal bulan ini, siasatan khas turut menyoal Suk Yeol mengenai penentangan beliau semasa tangkapan yang gagal pada Januari, serta dakwaan bahawa beliau meluluskan penerbangan dron ke Pyongyang untuk mewajarkan undang-undang tentera.
Beliau juga berdepan pertuduhan memalsukan dokumen rasmi berkaitan usaha darurat tersebut.
Suk Yeol mempertahankan tindakannya sebagai perlu untuk “membersihkan” elemen pro-Korea Utara dan "antinegara".
Namun, Mahkamah Perlembagaan dalam keputusan pada 4 April lepas menyatakan tindakan Yoon adalah “pengkhianatan terhadap kepercayaan rakyat” dan “penafian terhadap prinsip demokrasi”.
Presiden semasa Korea Selatan, Lee Jae Myung, yang menang dalam pilihan raya mengejut bulan Jun lalu, telah meluluskan undang-undang siasatan khas terhadap usaha Suk Yeol untuk melaksanakan undang-undang tentera, serta pelbagai dakwaan jenayah melibatkan pentadbiran dan isterinya.-AFP.