WASHINGTON, 10 Julai-Presiden Amerika Syarikat Donald Trump telah menghantar surat kepada pemimpin lapan negara pada hari Rabu untuk memaklumkan bahawa duti import antara 20 hingga 50 peratus akan dikenakan ke atas barangan dari negara-negara tersebut mulai 1 Ogos depan.
Trump turut memuat naik surat kepada tujuh negara iaitu Filipina, Brunei, Moldova, Algeria, Iraq, Libya dan Sri Lanka melalui platform media sosial miliknya, Truth Social.
Dalam surat tersebut, dinyatakan bahawa tarif sebanyak 30 peratus akan dikenakan ke atas barangan dari Libya, Iraq, Algeria dan Sri Lanka.
Brunei dan Moldova pula dikenakan tarif sebanyak 25 peratus, manakala Filipina dikenakan tarif sebanyak 20 peratus.
Kemudian pada hari yang sama, Trump mengumumkan bahawa Brazil turut akan dikenakan duti import sebanyak 50 peratus, juga berkuat kuasa mulai 1 Ogos.
Sebagai respon kepada pengumuman tarif ke atas Brazil, Naib Presiden Brazil, Geraldo Alckmin, berkata tindakan Trump tidak adil dan menyatakan bahawa Amerika Syarikat mempunyai lebihan dagangan dengan Brazil, justeru tidak wajar mengenakan tarif yang lebih tinggi.
Beliau turut menegaskan bahawa langkah mengenakan tarif ke atas barangan Brazil boleh merugikan ekonomi Amerika Syarikat sendiri kerana hubungan dagangan antara kedua-dua negara saling bergantungan.
Terdahulu, surat serupa turut dikirimkan Trump kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim memaklumkan AS mengenakan kadar tarif 25 peratus produk Malaysia yang dieksport ke AS mulai 1 Ogos depan.
Trump mendakwa langkah tersebut diambil berikutan jurang perdagangan yang ketara antara kedua-dua negara serta dasar perdagangan Malaysia yang disifatkan tidak seimbang.-REUTERS.