fb fb fb fb fb

Nelayan Mexico bantu selamatkan spesies amfibia terancam

Achoque, atau salamander Tasik Patzcuaro berdepan ancaman kepupusan akibat pencemaran dan penangkapan tanpa had / Foto REUTERS

SAN JERÓNIMO PURENCHECUARO, 10 Julai-Seorang nelayan Mexico, Froylan Correa kini membantu menyelamatkan sejenis haiwan amfibia terancam bernama achoque, yang mempunyai insang seperti surai singa dan kebolehan luar biasa untuk tumbuh semula jika kehilangan anggota.

Achoque, atau salamander Tasik Patzcuaro, merupakan spesis sama axolotl yang juga hampir pupus.

Achoque hanya boleh ditemui di Tasik Patzcuaro, dan kini berdepan ancaman akibat penangkapan tanpa had, pencemaran, dan air tasik yang semakin surut.

Dalam usaha menyelamatkan spesis berkenaan, para saintis dari Universiti Michoacana bekerjasama dengan penduduk orang asli di kampung San Jeronimo Purenchecuaro, dengan membayar mereka bagi membantu membiak dan menjaga haiwan berkenaan.

Correa, kini berusia lebih 60 tahun, diberi tugas mengumpul telur achoque.

Telur-telur tersebut kemudian dibawa ke makmal oleh ahli biologi Rodolfo Perez untuk ditetaskan.

Apabila cukup besar, anak-anak achoque dipindahkan ke pusat perlindungan komuniti bagi membolehkan para nelayan menjaganya sebelum dilepaskan semula ke dalam tasik.

Achoque menarik perhatian saintis kerana kemampuannya untuk menumbuhkan semula anggota badan, dan juga sebahagian otak atau jantung.

Ini menjadikannya penting dalam kajian perubatan.

Sejak zaman dahulu, masyarakat Orang Asli Mexico menggunakan achoque sebagai makanan dan perubatan khususnya untuk penyakit pernafasan.

Menurut cerita rakyat tempatan, haiwan berkenaan asalnya adalah dewa jahat yang bersembunyi di dalam lumpur untuk lari daripada hukuman.

Perez berkata tugas ini memerlukan banyak usaha, terutamanya untuk menjaga achoque yang memerlukan perhatian setiap hari dan selain bayaran kepada penjaga.

Usaha bersama saintis dan komuniti setempat telah membantu menstabilkan populasi achoque.

Tetapi kini hanya tinggal kira-kira 80 hingga 100 ekor sahaja iaitu lebih sedikit berbanding 40 tahun lalu.

Bagi para nelayan, menjaga achoque adalah tugas penuh kasih sayang.

Menurut Israel Correa, walaupun hujan, panas atau terdapat  majlis keraian, mereka tetap perlu datang menjaga haiwan-haiwan ini setiap hari supaya ia tidak mati.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD