fb fb fb fb fb

600 pelombong emas dijangkiti taun di Lomera & Katana, Congo

Pelombong emas di lombong Lomera dan Katana, Congo. -Foto REUTERS

KIVU, 10 Julai -Wabak taun yang melanda lombong emas di Lomera dan Katana, Congo, telah menjangkiti lebih 600 pelombong, menyebabkan perkhidmatan kesihatan tempatan hampir lumpuh.

Menurut wakil perubatan Médecins Sans Frontières (MSF) untuk wilayah Kivu Selatan, Dr. Matilde Cilley, pihaknya telah merawat sekurang-kurangnya 600 pesakit di Lomera dengan lebih 300 pesakit dimasukkan ke hospital.

Jelasnya, antara cabaran utama yang dihadapi MSF adalah wabak yang mudah merebak, akses terhadap bekalan air bersih dan sumber makanan yang tercemar.

Katanya, sejak awal 2025, Kivu Selatan mencatatkan 5,360 kes dan 28 kematian di seluruh wilayah itu, dengan 90 peratus daripada 1,271 kes di Katana berasal dari Lomera.

"Rawatan kecemasan hanyalah sebahagian daripada penyelesaian. Apa yang diperlukan ialah sistem kesihatan awam yang betul-betul berkesan," kata Dr. Cilley.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran bahawa akan berlaku peningkatan kes taun di timur Congo susulan keganasan yang berterusan. -REUTERS

MOHAMED ZAMZURI MOHAMED ZAWAWI