SREBRENICA, 10 Julai – Tiga puluh tahun selepas pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica, keluarga mangsa masih mencari dan mengebumikan sisa-sisa tulang-belulang lebih 8,000 lelaki dan remaja lelaki yang dibunuh oleh tentera Serb Bosnia.
Ia sekali gus memperlihatkan betapa dalamnya luka yang ditinggalkan tragedi itu kepada negara.
Pada 11 Julai 1995, tentera Serb Bosnia menyerang kawasan Srebrenica, yang ketika itu menempatkan lebih 40,000 orang Islam, termasuk ramai pelarian akibat Perang Bosnia 1992–1995.
Kawasan itu sepatutnya menjadi “zon perlindungan PBB”, satu istilah yang dilihat kosong dan tidak bermakna.
Di bawah arahan Jeneral Ratko Mladic, ribuan lelaki dan remaja lelaki dipisahkan dan dihukum bunuh sebelum mayat mereka ditanam dalam kuburan besar.
Selepas puluhan tahun usaha forensik dan pencarian yang teliti, sekitar 7,000 mangsa telah dikenalpasti dan dikebumikan dengan sewajarnya.
Namun begitu, lebih kurang 1,000 orang masih hilang.
Penemuan kubur besar kini jarang berlaku.
Kali terakhir adalah pada 2021, apabila mayat 10 mangsa dijumpai kira-kira 180 kilometer(KM) dari Srebrenica.
Tahun ini, tujuh mangsa akan dikebumikan semasa upacara memperingati 11 Julai di Pusat Peringatan Srebrenica-Potocari, termasuk dua lelaki berusia 19 tahun dan seorang wanita berusia 67 tahun.
“Saya akan kebumikan ayah saya tahun ini. Tapi cuma satu tulang iaitu rahang bawahnya,” kata Mirzeta Karic, 50 tahun, kepada AFP.
Karic berkata ibunya kini terlalu sakit untuk menunggu lebih lama.
Ayahnya, Sejdalija Alic, menyertai ribuan lelaki yang cuba melarikan diri ke hutan, namun gagal.
Anaknya yang berusia 22 tahun, Sejdin, juga terbunuh begitu juga tiga abang Sejdalija dan empat anak mereka.
“Itu akan jadi ahli keluarga saya yang ke-50 yang dikebumikan di tanah perkuburan Potocari,” kata Karic.
“Saya dah mampu hadapi banyak perkara, tapi pengebumian kali ini paling menyakitkan.”
Ratko Mladic (83 tahun) dan Radovan Karadzic (80 tahun) telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup oleh mahkamah jenayah antarabangsa atas jenayah perang dan genosid.
Namun, pengakuan dan pertanggungjawaban di peringkat domestik di Bosnia masih belum berlaku.
Pemimpin entiti Republika Srpska, wilayah autonomi Serb Bosnia masih menafikan wujudnya genosid dan meremehkan tragedi itu secara terbuka.
“Penafian ini sudah menjadi sesuatu yang dianggap remeh,” kata penyelidik Universiti Libre de Bruxelles, Neira Sabanovic.
“Sangat jarang jumpa orang di Republika Srpska yang mengakui berlaku genosid", ujarnya.
Presiden Republika Srpska, Milorad Dodik, merupakan antara tokoh paling lantang menafikan genosid.
Menurut laporan tahunan Pusat Peringatan Srebrenica, Dodik menyumbang 42 daripada 305 kenyataan penafian atau meremehkan yang dicatat pada tahun 2024.
Walaupun Perhimpunan Agung PBB tahun lalu mengisytiharkan 11 Julai sebagai Hari Peringatan Antarabangsa Genosid Srebrenica, ia mendapat tentangan daripada Belgrade dan Republika Srpska.
Pada Sabtu ini, pemimpin politik dan agama Serbia dan Serb Bosnia akan berhimpun di Bratunac, berdekatan Srebrenica, untuk memperingati lebih 3,200 tentera dan orang awam Serb Bosnia yang terkorban semasa perang.
Gambar 600 orang terbunuh telah digantung di sepanjang jalan berhampiran pusat peringatan Srebrenica.
“Kita tidak sedang bercakap dalam perbualan yang sama. Mereka masih hidup dalam tahun 1995,” kata Emir Suljagic, pengarah Pusat Peringatan Srebrenica.
“Kita telah menang dalam satu pertempuran penting iaitu pertempuran untuk pengiktirafan antarabangsa", katanya.
Perang Bosnia 1992-1995 antara Croat, Muslim dan Serbia meragut kira-kira 100,000 nyawa.
Hampir tiga dekad selepas perang tamat, negara Balkan kekal berpecah mengikut kumpulan etnik.-AFP.