fb fb fb fb fb

Trump umum Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi Amerika Syarikat

Donald Trump/AFP

WASHINGTON, 2 Mac- Presiden Donald Trump pada Sabtu mengisytiharkan Bahasa Inggeris sebagai bahasa rasmi Amerika Syarikat (AS) bagi memperkukuh perpaduan dalam negara yang dipenuhi kepelbagaian imigran.

Perintah eksekutif yang dikeluarkan oleh White House menyatakan bahawa sudah tiba masanya Bahasa Inggeris diiktiraf secara rasmi.

"Bahasa yang diiktiraf secara nasional adalah teras kepada masyarakat yang bersatu dan kukuh. Amerika Syarikat menjadi lebih kuat apabila rakyatnya dapat bertukar fikiran dalam satu bahasa yang sama," menurut dokumen perintah itu.

Perintah tersebut turut membatalkan arahan era Presiden Bill Clinton pada 1990-an yang mewajibkan agensi persekutuan serta penerima dana kerajaan menyediakan bantuan kepada individu bukan penutur Bahasa Inggeris.

Bagaimanapun perintah eksekutif itu menegaskan  "tiada perubahan diperlukan dalam perkhidmatan yang disediakan oleh mana-mana agensi" dan ketua agensi diberikan kuasa untuk menentukan keperluan melaksanakan misi masing-masing.

White House mengakui lebih 350 bahasa digunakan di Amerika Syarikat, namun menegaskan Bahasa Inggeris telah menjadi bahasa negara sejak "penubuhan Republik ini."

Menurut data kerajaan AS pada 2019, hampir 68 juta penduduk bertutur dalam bahasa selain Bahasa Inggeris di rumah termasuk lebih 40 juta penutur bahasa Sepanyol.

Selain itu, landskap linguistik kompleks negara itu turut merangkumi bahasa imigran lain seperti Cina dan Vietnam serta puluhan bahasa penduduk asal Amerika. -AFP

SITI AISHAH MD ISA