WASHINGTON, 19 Julai – Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, sekali lagi mengulangi ancamannya untuk mengenakan tarif ekonomi ke atas negara-negara anggota BRICS sekiranya pakatan itu berjaya bergabung secara kukuh.
Dalam ucapan pada Jumaat, Trump menyifatkan kumpulan itu sebagai ancaman terhadap dominasi ekonomi Amerika dan mendakwa beliau telah mengambil langkah awal untuk melemahkannya.
“Bila saya dengar tentang kumpulan BRICS, saya terus tekan mereka habis-habisan. Kalau mereka betul-betul bentuk satu gabungan yang kukuh, saya jamin ia akan berakhir dengan cepat,” katanya, tanpa menamakan mana-mana negara secara spesifik.
BRICS kini merangkumi Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan dan telah menarik penyertaan baru termasuk Mesir, Ethiopia, Iran dan Emiriah Arab Bersatu dalam usaha mengembangkan pengaruh ekonomi global mereka, di luar dominasi Barat.
Sementara itu, Trump turut menyentuh soal dasar kewangan domestik, dengan menegaskan bahawa beliau akan menolak sebarang usaha untuk mewujudkan mata wang digital bank pusat (CBDC) di Amerika Syarikat.
“Saya komited untuk mempertahankan status dolar Amerika sebagai mata wang rizab utama dunia. Saya tidak akan benarkan kerajaan membentuk sebarang versi mata wang digital pusat,” tegasnya.
Trump sebelum ini turut mengkritik usaha Rizab Persekutuan (Federal Reserve) yang mengkaji kemungkinan pelaksanaan dolar digital, kerana menurutnya, langkah itu membuka jalan kepada kawalan kerajaan terhadap transaksi rakyat.
Kenyataan Trump itu mencerminkan hala tuju dasar luar dan fiskalnya yang dijangka kekal agresif terhadap kuasa besar lain serta cenderung kepada pendekatan proteksionis dan nasionalis jika beliau kembali memegang jawatan Presiden.-REUTERS